Semoga Perjalanan PAU 2025 Dipermudah, Beri Sinar Baharu Buat Orang Melayu

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Mohamad Fadil Md Zin mendoakan agar perjalanan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 dipermudahkan dan akan memberi sinar baharu kepada rakyat terutamanya orang Melayu.

Ujarnya, tahun 2025 telah memberi banyak pengajaran kepada UMNO dalam landskap politik terutamanya apabila sudah tiga tahun bersama dengan Kerajaan Perpaduan.

“Alhamdulillah kita masih diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk bertemu lagi pada PAU yang dinanti-nantikan oleh rakyat terutamanya orang Melayu. Mereka ingin melihat apakah yang akan dilaksanakan oleh UMNO untuk memastikan kedudukan orang Melayu terus diperkasa.

“Tahun 2025 telah memberikan banyak pengajaran kepada UMNO dalam landskap politik yang semakin dinamik dan mematangkan terutamanya setelah bersama dengan Kerajaan Perpaduan lebih dari tiga tahun,” katanya kepada UMNO Online.

Tambahnya, golongan anak muda juga sedang menantikan keputusan parti terhadap usaha untuk menentukan sokongan rakyat terhadap parti.

“Akar umbi termasuk golongan anak muda sedang menantikan apakah akan ada keputusan yang dibuat mengikut denyut nadi akar umbi atau sebaliknya. Keputusan yang bakal dibuat itu akan impak kepada nilai sokongan rakyat terhadap UMNO.

“Saya yakin para perwakilan PAU kali ini akan bersuara dengan jujur berdasarkan kasih dan sayang mereka terhadap UMNO. Saya juga percaya bahawa pimpinan tertinggi akan menghalusi setiap usul yang dibawa untuk menentukan halatuju UMNO bagi tahun 2026.

“Semoga perjalanan PAU kali ini dipermudahkan dan akan memberi sinar baharu buat rakyat terutamanya buat orang Melayu,” katanya lagi.

Terdahulu, PAU yang pada asalnya dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 29 November telah ditangguhkan ke 14 hingga 17 Januari tahun depan untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Untuk rekod, mesyuarat cawangan-cawangan UMNO seluruh negara telah diadakan pada 7 April sehingga 25 Mei manakala mesyuarat bahagian-bahagian UMNO pula dimulakan pada 9 Jun sehingga 27 Julai. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO