Penyelarasan Had Umur Pergerakan Puteri UMNO Perlu Dibawa Ke PAU

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Isu penyelarasan had umur Pergerakan Puteri UMNO sehingga 40 tahun perlu dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) untuk memperkukuhkan akar umbi.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Sembilan, Hazratul Ilani Misdar berkata, pentas PAU pada tahun ini perlu digunakan sebagai medan musyawarah untuk menilai kelemahan dan parti dengan jujur terutamanya selepas menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“PAU seharusnya dilihat sebagai ‘medan musyawarah’ besar, bukan sekadar ruang untuk bersorak. Para perwakilan perlu menggunakan pentas ini dengan penuh tertib untuk bermuhasabah diri.

“Kita perlu menilai dengan jujur kekuatan dan kelemahan parti selepas PRN Sabah yang lalu. Kelemahan harus diakui dengan jiwa yang besar untuk kita baiki bersama. Di sini, kita letakkan kepentingan parti melebihi peribadi. Sebarang perbezaan pendapat harus diselesaikan dengan adab persaudaraan agar musuh tidak mengambil kesempatan di atas perpecahan kita.

“Perwakilan adalah jambatan yang membawa rintihan rakyat kepada kepimpinan. Gunakan peluang ini untuk memastikan suara orang Melayu di kampung dan bandar didengari oleh kepimpinan tertinggi parti,” katanya kepada UMNO Online

Ujarnya, perbincangan membina yang memberi fokus kepada agenda memperkasa Melayu-Islam dan ekonomi perlu diketengahkan melalui dasar lebih inklusif.

“Melihat kepada landskap politik Malaysia 2026, kita mengharapkan perbincangan yang bersifat membina (konstruktif) fokus kepada agenda ekonomi Melayu, bagaimana UMNO dalam kerajaan boleh menangani kos sara hidup rakyat dan memperkasa ekonomi orang Melayu melalui dasar lebih inklusif.

“Hala tuju Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 mesti dibincangkan secara matang mengenai strategi kerjasama politik yang menjamin kelangsungan parti tanpa menggadaikan prinsip asal perjuangan. Kita mahu UMNO yang berprinsip, tegas dalam mempertahankan Islam dan kedaulatan Raja-Raja, namun bijaksana dalam mengemudi realiti politik semasa demi masa depan PRU ke-16.

“Penyelarasan had umur Puteri sehingga 40 tahun janganlah dipandang enteng. Ini penting untuk memastikan kesinambungan kepimpinan wanita muda yang lebih matang, berpengalaman, dan mampu menarik sokongan segmen pengundi secara meluas. Kita perlukan kematangan mereka untuk memperkukuh akar umbi.

“Menyentuh tentang pendidikan dan belia, UMNO mesti terus fokus kepada pemerkasaan TVET, MARA dan peluang pekerjaan untuk anak muda agar mereka melihat UMNO sebagai parti masa depan, bukan sekadar parti nostalgia,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut mendoakan agar PAU pada kali ini menjadi titik tolak kepada kebangkitan semula parti.

“Harapan saya sangat besar. Saya mendoakan agar PAU kali ini menjadi titik tolak kepada kebangkitan semula (The Great Reset) untuk UMNO. Kita mahu keluar dengan satu tekad iaitu menjadi parti yang bukan sahaja kuat organisasinya, tetapi teguh moral dan amanahnya.

“Semoga kita semua diberikan taufik dan hidayah untuk membuat keputusan yang paling maslahat buat agama, bangsa dan tanah air.

“Biarlah UMNO kembali menjadi tempat berteduh buat rakyat, adil kepada semua dan tegas dalam mempertahankan kedaulatan Islam serta hak orang Melayu. Insya-Allah, dengan keikhlasan, UMNO akan kembali relevan dan dihormati,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO