PAU Medan Penyatuan, Perkukuh Parti Hadapi Cabaran – Noraini Idris

KOTA KINABALU, 12 Jan – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) disifatkan sebagai medan penting penyatuan ahli parti bagi membakar semangat sebelum berdepan siri pilihan raya akan datang, kata Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Noraini Idris.

Menurut beliau, PAU perlu dimanfaatkan sebagai platform perbincangan strategik bagi memastikan Barisan Nasional (BN) kembali mendapat kepercayaan rakyat.

“Jadikan PAU sebagai tempat untuk kita berbincang bagaimana mahu memastikan BN kembali diterima pengundi. Kita perlu bersedia bukan sahaja untuk PRK Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag tetapi juga PRN di negeri lain dan seterusnya Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Wanita UMNO Sabah memutuskan untuk menyertai PAU secara hibrid bagi memberi keutamaan kepada gerak kerja Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag.

Noraini berkata, hanya pemimpin utama serta ketua-ketua bahagian hadir secara fizikal ke Kuala Lumpur, manakala sebahagian besar perwakilan mengikuti persidangan secara dalam talian dari Sabah.

“Keutamaan kami ketika ini adalah gerak kerja PRK di peringkat akar umbi, namun suara Wanita Sabah tetap akan dibawa ke PAU melalui penyertaan hibrid,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa setiap usul yang dibawa perlu diberi perhatian oleh kepimpinan pusat bagi memastikan UMNO terus peka terhadap keperluan dan aspirasi rakyat, khususnya di Sabah. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO