Mohd Zaidy Ajak Ahli UMNO Jadikan PAU 2025 Medan Penyatuan Dan Kesepakatan

JEMPOL, 12 Jan – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, menekankan bahawa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 perlu dijadikan medan penyatuan dan kesepakatan dalam kalangan ahli parti, serta bukan sekadar platform untuk berhimpun.

Menurut beliau, persidangan yang bakal berlangsung bermula 14-17 Jan ini bukan sahaja kesempatan untuk memperkukuhkan solidariti parti, tetapi juga peluang strategik untuk membina matlamat jelas yang mampu membawa parti ke hadapan.

“PAU 2025 harus lebih daripada sekadar perhimpunan tahunan. Ia mesti menjadi medan untuk menyatukan semua lapisan ahli UMNO, memperkukuh visi dan hala tuju parti, serta menetapkan matlamat yang konkrit,” kata Mohd Zaidy.

Ujarnya, ahli UMNO perlu melihat PAU sebagai platform untuk berbincang dan menyatukan idea demi kepentingan rakyat dan kelangsungan parti.

“Kita tidak mahu PAU hanya menjadi acara formal tanpa hala tuju. Setiap perbincangan dan keputusan yang dibuat di PAU harus membawa impak nyata, bukan sahaja untuk parti tetapi juga untuk rakyat,” ujarnya.

Mohd Zaidy juga menyeru semua pemimpin dan ahli parti agar hadir dengan semangat terbuka, berlapang dada, dan bersedia untuk menyelesaikan perbezaan pendapat demi kepentingan bersama.

Menurut beliau, kepelbagaian pandangan dalam parti adalah asset dan ia perlu disalurkan dengan cara yang membina.

“PAU 2025 adalah peluang terbaik untuk menunjukkan bahawa UMNO mampu bersatu, menolak perpecahan, dan fokus kepada hala tuju yang jelas. Jangan biarkan ia sekadar menjadi rutin tahunan.

“Diharapkan para pembahas juga akan menampilkan perbincangan mengenai isu-isu semasa, strategi politik, serta langkah-langkah memantapkan lagi kepercayaan rakyat terhadap parti.”

Bagi Mohd Zaidy, kesepakatan dan penyatuan bukan sahaja penting untuk imej parti tapi juga bagi memastikan keberkesanan setiap dasar dan tindakan yang dirancang.

“Setiap ahli UMNO perlu keluar dengan satu semangat yang sama, satu matlamat yang jelas, dan komitmen untuk terus memperkukuh parti. Jika ini tercapai, PAU bukan sahaja menjadi simbol kesatuan tetapi juga lambang kekuatan UMNO dalam arena politik negara,” tambahnya.

Dalam konteks ini, Mohd Zaidy menekankan bahawa PAU harus menjadi titik tolak untuk kesatuan berterusan dan kesinambungan perjuangan UMNO. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO