Jurucakap Usul Diingatkan Tertib Ketika Sesi Perbahasan – Hisham Suhaily
KUALA LUMPUR, 12 Jan – Jurucakap usul yang bakal mengetengahkan suara akar umbi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kali ini diingatkan agar sentiasa tertib ketika sesi perbahasan.
Exco Wanita UMNO Malaysia merangkap Ketua Wanita UMNO Langkawi, Hisham Suhaily Othman berkata, pucuk pimpinan parti telah memberikan ruang untuk para jurucakap membawa usul-usul tanpa sebarang tapisan.

“Alhamdulilah pada tahun ini saya telah dipilih sebagai jurucakap mewakili Wanita UMNO Negeri Kedah ke Perhimpunan Agung Wanita UMNO Malaysia. Kami baru sahaja selesai taklimat oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin, Timbalan Pengerusi Tetap UMNO, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
“Pada saya, ini adalah pengalaman baharu sebab saya tidak pernah berucap sebelum ini. Alhamdulilah, pucuk pimpinan telah memberi ruang dan peluang kepada jurucakap untuk membawa usul-usul tanpa ada tapisan.
“Namun, kami diingatkan untuk menjaga adab, ayat-ayat … apa yang kita nak cakapkan itu adalah dalam keadaan tertib dan saling menghormati. Kita boleh bercakap, luahkan … kita bawa suara hati akar umbi yang telah diluluskan oleh Wanita UMNO Negeri Kedah dan akan sampaikan pada PAU tersebut,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, beliau turut berharap segala mesej yang disampaikan sepanjang sesi perbahasan akan dapat difahami oleh para perwakilan dan juga akar umbi.
“Saya diberikan tiga tajuk yang pertama ialah Penubuhan Sekretariat Wanita Muda. Keduanya, kita akan bahas usul untuk Datuk Seri Najib dan ketiga, usul politik yang kita bawa dari Wanita UMNO Kedah.
“Jadi, saya lihat di sini secara keseluruhannya jurucakap semua telah pun bersedia dan yang dipilih pun semuanya berpengalaman. Bagi pihak Wanita UMNO, kita harapkan perjalanan PAU kali ini berjalan lancar.
“Apa yang penting, kita mahu mesej itu sampai bukan hanya kepada perwakilan di dalam dan luar dewan, tetapi kepada akar umbi di luar sana,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
