PAU: Wanita UMNO Lakukan Persediaan Awal, Alukan Kehadiran Para Perwakilan
KUALA LUMPUR, 11 Jan – Wanita UMNO Malaysia telah melakukan persiapan awal untuk menghadapi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang akan berlangsung pada 14 sehingga 17 Januari ini.
Setiausaha Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Sohar memaklumkan terdapat pelbagai program yang akan dilaksanakan pada tahun ini untuk memeriahkan lagi suasana PAU 2025.

“Alhamdulilah kita telah melakukan persiapan lebih awal kerana pengalaman-pengalaman lalu, tambahan pula kita tidak ke Sabah. Jadi, kita dah bersedia awal. Insya-Allah program kita akan bermula pada 13 Januari ini dengan Majlis Hi-Tea Skuad Sayang 3K dan pelancaran Jom Sihat di bawah Skuad Sayang.
“Pada pagi hari tersebut, terdapat pelbagai program daripada UMNO sendiri seperti Majlis Pengumpulan Ulama dan sebagainya. Pada sebelah malam, kita akan bersama-sama untuk mengadakan persiapan. Esoknya, pada 14 Januari kita akan adakan Pre-Council anjuran Exco-Exco Wanita dan petang kita akan bersama dalam majlis Taklimat Presiden.
“Kita yakin dan percaya bahawa Wanita dari seluruh negara akan datang tetapi mungkin dari Sabah tidak semua akan dapat hadir disebabkan pilihan raya. Wanita adalah jentera utama di Kinabatangan dan Lamag. Kita yakin dan percaya mereka akan bertugas di sana tetapi sesiapa yang hadir ke PAU akan memenuhi ruangan Dewan Tun Hussein Onn,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, beliau turut mengalu-alukan kehadiran para perwakilan Wanita UMNO ke PAU untuk bersama-sama berkumpul bagi menyatakan keyakinan dan menyerlahkan semangat perjuangan kepada parti.
“Selepas Perhimpunan Agung Wanita kita akan adakan pameran ‘Woman in Halal’ bersama MARA. Semua dijemput untuk menyertainya. Di bawah Sekretariat Ekonomi pula kita adakan program di Serambi Wanita untuk para usahawan wanita.
“Kita tiada pertambahan program tetapi pada pagi Perhimpunan Agung Wanita itu nanti kita akan adakan bacaan tahlil untuk para pejuang UMNO yang telah pergi meninggalkan kita termasuk Pengerusi Tetap Wanita UMNO dan beberapa Ketua Wanita Bahagian.
“Alhamdulilah saya yakin dan percaya Wanita UMNO akan datang beramai-ramai bermula 13 Januari ini sebab suasana ini memang kita tunggu setiap tahun bagi menyatakan keyakinan, perjuangan dan mengucapkan syukur kerana negara kita masih berada dalam keadaan aman damai,” katanya lagi.

Terdahulu, PAU yang pada asalnya dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 29 November telah ditangguhkan ke 14 hingga 17 Januari tahun depan untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Untuk rekod, mesyuarat cawangan-cawangan UMNO seluruh negara telah diadakan pada 7 April sehingga 25 Mei manakala mesyuarat bahagian-bahagian UMNO pula dimulakan pada 9 Jun sehingga 27 Julai. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
