PAU Bukan Sekadar Perbahasan, Platform Utama Kekuatan Parti – Jamil Pauzi
KUALA LUMPUR, 11 Jan – Exco Pemuda UMNO Malaysia, Md Jamil Pauzi menegaskan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 merupakan fasa penting dalam landskap politik negara.
Menurutnya, PAU bukan sekadar medan perbahasan dalaman parti, tetapi menjadi platform untuk menilai semula kekuatan, hala tuju serta peranan strategik UMNO dalam kerajaan dan masyarakat.
“PAU 2025 adalah ruang terbaik untuk memperkukuh semangat kebersamaan dalam parti. Perbezaan pandangan harus diraikan sebagai sebahagian daripada proses demokrasi dalaman, bukan dianggap ancaman kepada kesatuan. Yang lebih penting ialah kesediaan semua peringkat kepimpinan untuk mendengar suara akar umbi dan menterjemahkannya ke dalam dasar serta strategi yang jelas.
“Ia dapat melahirkan satu naratif baharu bahawa UMNO bertambah matang dan fokus kepada agenda rakyat serta kestabilan negara. Keputusan dan resolusi yang lahir daripada PAU mestilah berpaksikan kepentingan parti dalam jangka panjang dan keyakinan rakyat terhadap masa depan politik negara.
“UMNO perlu mengambil iktibar daripada perpecahan yang berlaku dalam parti-parti politik lain. Sejarah telah membuktikan bahawa perpecahan dalaman hanya akan melemahkan kekuatan dan kepercayaan rakyat,” katanya kepada UMNO Online.
Jelas beliau, PAU 2025 harus menjadi titik penyatuan, bukan medan pertembungan emosi atau kepentingan sempit.
“Kritikan dan cadangan yang dibangkitkan wajar diurus secara berhemah agar ia memperkukuh, dan bukannya hendak melemahkan parti.
“Pemuda UMNO harus kekal menjadi suara yang berani, berdisiplin dan setia kepada prinsip perjuangan parti,” katanya lagi.
Mengulas lanjut kata Jamil, mengakui UMNO hari ini berhadapan realiti politik yang lebih kompleks sejak kebelakangan ini termasuk juga isu pertuduhan yang dihadapi Presiden UMNO.
“Beberapa isu-isu semasa termasuk keputusan DNAA melibatkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta dinamika dalaman sayap parti khususnya Pemuda UMNO.
“Selain itu perkembangan dan perpecahan dalam parti-parti politik lain perlu ditangani dengan kebijaksanaan dan kematangan. Semua ini menuntut kepimpinan yang tenang, berprinsip dan berpandangan jauh,” jelasnya.
Terdahulu, PAU 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 26 hingga 29 November telah ditangguhkan ke 14 hingga 17 Januari bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
PAU yang bakal berlangsung minggu hadapan akan dimulakan dengan perasmian serentak Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri pada hari Rabu, sebelum acara kemuncaknya pada hari Jumaat yang melibatkan upacara menaikkan bendera serta sesi perbahasan. – UMNO Online
