UMNO Siap Sedia Laksana PAU 2025, Raptai Perasmian Berlangsung Rapi
KUALA LUMPUR, 9 Jan – Persiapan menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 memasuki fasa akhir apabila raptai perasmian berlangsung dengan lancar di Plaza Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pagi tadi.
Raptai yang bermula seawal 7.30 pagi itu menyaksikan suasana penuh semangat apabila Skuad Sayang Wanita UMNO Malaysia, Skuad Sabil Pergerakan Pemuda UMNO dan Sekolah Patriotik UMNO mengadakan perbarisan sebagai simbol kesiapsiagaan dan kekuatan jentera parti.
Raptai tersebut dikendalikan oleh Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan, dimulakan dengan upacara menaikkan bendera sayap-sayap UMNO, sebelum diteruskan dengan nyanyian lagu rasmi parti ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’.
Beliau turut meninjau secara langsung persiapan raptai selain bersama kakitangan Ibu Pejabat UMNO selaku urus setia persidangan.
Raptai ini merupakan antara persediaan terakhir menjelang PAU 2025 yang dijadualkan bermula Rabu ini.
Selain raptai di Plaza Merdeka, latihan dalam dewan juga akan turut dilakukan melibatkan persidangan tiga pergerakan sayap UMNO serta istiadat perasmian Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka.
Untuk rekod, Perhimpunan Agung UMNO 2025 akan berlangsung dari 14 hingga 17 Januari, melibatkan kehadiran perwakilan daripada 191 bahagian di seluruh negara, sebagai manifestasi kesinambungan semangat perjuangan parti.
Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan bahawa seramai 6,412 perwakilan dijangka hadir, merangkumi 2,928 perwakilan Perhimpunan Agung UMNO, 1,165 Perhimpunan Agung Wanita UMNO, 1,173 Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO dan 1,146 Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO.
Beliau turut menjelaskan bahawa seperti tahun-tahun sebelumnya, gerai dan reruai jualan akan dibuka kepada orang ramai bermula 13 Januari, menawarkan pelbagai produk dengan harga berpatutan sepanjang tempoh persidangan berlangsung.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Asyraf memaklumkan bahawa setakat ini 366 petugas media tempatan dan antarabangsa telah mendaftar bagi membuat liputan Perhimpunan Agung UMNO 2025. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib
