PAU 2025: Perkukuh UMNO Dengan Bijaksana Berpaksikan Agama, Bangsa, Negara – Mahadhir

KUALA LUMPUR, 10 Jan – UMNO perlu terus diperkukuhkan dengan pendekatan yang bijaksana, cermat dan berhati-hati dalam setiap tindakan serta keputusan, khususnya dalam keadaan politik dan sosioekonomi semasa yang semakin mencabar.

Ketua UMNO Bahagian Segambut, Datuk Mahadhir Sulaiman, menegaskan bahawa semua pemimpin dan ahli parti tidak boleh terpesong daripada teras perjuangan UMNO iaitu agama, bangsa dan negara, demi memastikan kelangsungan serta kewibawaan parti terus terpelihara.

Menurut beliau, pemimpin UMNO perlu bekerja keras dan sentiasa membuat keputusan yang mendahulukan kepentingan parti serta negara, bukannya kepentingan individu.

“Setiap keputusan mesti dibuat dengan penuh kebijaksanaan dan pertimbangan. Kita perlu cermat dalam bertindak serta mengelakkan sebarang kenyataan atau perbuatan yang boleh merosakkan reputasi parti,” katanya kepada UMNO Online sempena menjelangnya PAU 2025.

Sehubungan itu, Mahadhir mengingatkan agar prinsip-prinsip asas parti dan negara tidak sesekali dilupakan dalam menangani kegusaran rakyat, terutama masyarakat Melayu, yang semakin bimbang terhadap isu-isu berkaitan agama dan bangsa.

Dalam aspek tadbir urus negara, beliau menegaskan bahawa UMNO perlu memainkan peranan lebih aktif membantu kerajaan menangani tekanan ekonomi rakyat, termasuk bebanan pelbagai cukai serta usaha memperbaiki pengurusan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat keseluruhannya.

Beliau juga menggesa semua pihak agar lebih sensitif terhadap isu-isu kenegaraan yang sering dianggap remeh, seperti penghormatan terhadap Jalur Gemilang, serta mengingatkan agar tidak sewenang-wenangnya menggunakan atau memetik nama Yang di-Pertuan Agong (YDPA) atau Raja-Raja Melayu dalam perkara yang tidak wajar.

“Institusi Raja-Raja Melayu adalah lambang ketuanan Melayu dan tidak boleh dipersenda atau disentuh sesuka hati. YDPA dan Majlis Raja-Raja merupakan institusi tertinggi bagi orang Melayu dan seluruh rakyat Malaysia,” tegasnya.

Beliau juga menekankan kepentingan UMNO untuk terus mempertahankan dan memperkukuhkan Wasiat Raja-Raja Melayu sebagai asas mengekalkan identiti Melayu dalam negara, merangkumi Persekutuan Tanah Melayu, Tanah Simpanan Melayu, Rejimen Askar Melayu, Raja-Raja Melayu, Agama Islam, Bahasa Melayu serta kedudukan istimewa orang Melayu.

Katanya, seluruh ahli UMNO perlu memahami intipati wasiat tersebut dan kembali merujuk kepada asas Rukun Negara yang diisytiharkan pada tahun 1970 sebagai teras pembinaan negara bangsa.

“Rukun Negara yang diilhamkan dan diisytiharkan sendiri oleh Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah perlu terus dijadikan panduan dalam perjuangan UMNO, seperti yang pernah saya tekankan sebagai Wakil UMNO Wilayah Persekutuan ketika menyokong Usul Ucapan Dasar Presiden pada PAU 2019,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO