PAU 2025 Dijangka Lebih Meriah, Sarat Agenda Masa Depan UMNO – Sumali

KUALA LUMPUR, 10 Jan – Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan menjangkakan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kali ini berlangsung lebih meriah serta pengisian yang sarat dengan agenda penting demi masa depan UMNO.

Menurut beliau ia berdasarkan sambutan hangat daripada perwakilan, pengunjung yang menunjukkan keterujaan tinggi.

“Sebentar tadi kita melaksanakan raptai luar dewan sempena PAU 2025. Menyanyikan lagu UMNO, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri.

“Manakala perbarisan terdiri daripada Skuad Sayang Wanita UMNO Malaysia, Skuad Sabil Pergerakan Pemuda UMNO dan juga ada satu tambahan adalah Sekolah Patriotik UMNO

“PAU pada tahun ini saya rasa lebih meriah kali ini ramai yang tidak sabar untuk hadir. Insya-Allah, kita doakan perjalanan PAU tahun ini berjalan dengan aman dan harmoni.

“Kita juga mengharapkan penganjuran kali ini menjadi yang terbaik, penuh dengan kemeriahan dan membawa perbincangan isu-isu utama demi kebaikan serta masa depan parti,” katanya ketika ditemui UMNO Online usai raptai yang diadakan pagi tadi.

Sumali dalam pada itu turut memaklumkan bahawa PAU kali ini akan disertai oleh lebih 100 gerai jualan, termasuk penyertaan usahawan tempatan.

Selain itu, katanya beberapa agensi kerajaan dan kementerian juga turut mengambil bahagian dalam pameran serta aktiviti jualan yang diadakan.

“Saya lihat sambutan daripada para peniaga yang ingin menyertai karnival jualan sangat memberangsangkan kerana semua lot yang ditawarkan telah habis ditempah.

“Sebenarnya ramai juga yang masih minta lagi untuk menyewa sehingga hari ini tapi sebab tempat itu kecil jadi kita tak boleh nak menampung banyak lagi gerai.

“Alhamdulillah syukur saya lihat pelbagai jualan ataupun pameran pada tahun ini, lebih meriah ada beberapa agensi yang turut serta dalam PAU pada tahun ini seperti biasa juga ada pameran kementerian dan agensi kerajaan,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO