Khaled Seru Jurucakap PAU 2025 Kemuka Cadangan Membina Demi Masa Depan
KUALA LUMPUR, 10 Jan – Jurucakap-jurucakap usul yang telah diberikan amanah untuk mengetengahkan suara akar umbi di semua peringkat diseru mengemukakan cadangan membina demi masa depan parti.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan demikian dalam satu taklimat bersama jurucakap-jurucakap yang bakal berbahas pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU), hari ini.

“Kita baru sahaja selesai mengadakan pertemuan dengan jurucakap-jurucakap usul PAU. Kita telah menyatakan hasrat dan harapan parti supaya mereka dapat berbahas di samping mengemukakan cadangan-cadangan yang baik demi masa depan parti.
“Ini penting untuk memastikan UMNO sentiasa relevan dan berdaya saing bagi mendepani segala cabaran yang ada pada hari ini. Pada saya, kelangsungan parti terletak kepada perbahasan yang akan mereka ketengahkan pada PAU nanti,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi memaklumkan bahawa usul yang paling popular pada PAU kali ini ialah pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Usul popular yang dihantar oleh Bahagian-Bahagian UMNO di seluruh negara ialah supaya Datuk Seri Najib diberikan pengampunan. Selain itu, terdapat juga usul politik, ekonomi, agama dan sebagainya.
“Datuk Seri Najib pernah menjadi pemimpin tertinggi parti, banyak jasanya kepada negara dan juga orang Melayu sepanjang memerintah. Maka tidak hairanlah mengapa usul ini diangkat oleh kebanyakan bahagian pada PAU kali ini.
“Atas sebab itulah banyak bahagian bersimpati dengan keadaan yang beliau hadapi dan mereka berpandangan bahawa perjuangan untuk memberi keadilan sewajarnya kepada beliau perlu diteruskan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa jurucakap-jurucakap akan menggunakan platform PAU sebagai medan untuk memberikan input bagi melonjakkan semula kedudukan UMNO di hati rakyat.
“Saya percaya jurucakap akan menggunakan platform ini dengan sebaiknya untuk menyediakan pandangan dan input mereka yang bukan sahaja perlu difahami oleh pucuk pimpinan, tetapi sebagai usaha bagi meletakkan semula UMNO di hati rakyat,” katanya lagi.
Turut hadir ke Taklimat Jurucakap Usul PAU 2025 ialah Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin, Timbalan Pengerusi Tetap UMNO, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, para pemimpin sayap dan semua jurucakap. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
