Perhimpunan Agung UMNO Medan Perkukuh Perjuangan, Susun Kembali Hala Tuju
PERHIMPUNAN Agung UMNO (PAU) 2025 akan berlangsung bermula 14-17 Januari ini. Sesungguhnya persidangan ini bukan sekadar acara tahunan atau rutin organisasi, tetapi merupakan wadah penting yang telah membentuk hala tuju perjuangan UMNO sejak penubuhannya sehingga ke hari ini. PAU ialah medan berhimpunnya suara akar umbi, pemimpin pelbagai peringkat, dan pemikir parti untuk menyatukan fikrah, menilai realiti semasa, serta memperkukuh asas perjuangan yang menjadi teras UMNO.
Sejak awal penubuhannya pada tahun 1946, UMNO lahir daripada gerakan rakyat dari seluruh pelusuk negara. Perjuangan itu bermula secara tersusun di peringkat negeri dan daerah, sebelum disatukan melalui perhimpunan nasional. Semangat berhimpun inilah yang kemudiannya diterjemahkan dalam PAU, sebuah tradisi yang menjadi nadi kekuatan parti. Setiap perbahasan, setiap usul, dan setiap pandangan yang dibawa mencerminkan denyut nadi rakyat dan keperluan sebenar negara.
Dalam sejarah panjang UMNO, PAU sentiasa menjadi tempat lahirnya dasar-dasar besar negara. Ketika Barisan Nasional (BN) memerintah, usul-usul yang dibahaskan dan diluluskan di PAU bukan sekadar catatan mesyuarat, tetapi diangkat menjadi dasar kerajaan. Daripada sinilah lahir pelbagai inisiatif penting yang memberi kesan besar kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

Bidang pendidikan merupakan antara contoh paling jelas. Bermula dengan pendidikan awal melalui tadika KEMAS, UMNO memastikan akses pendidikan untuk anak-anak luar bandar dan golongan kurang berkemampuan. Usaha ini berkembang kepada penubuhan institusi pendidikan tinggi yang menjadi lambang pemerkasaan anak bangsa seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), serta pelbagai kolej dan institut latihan kemahiran. Semua ini bertujuan memastikan mobiliti sosial, membina modal insan, dan melahirkan generasi berilmu yang mampu memimpin negara.
Selain pendidikan, UMNO juga memainkan peranan besar dalam pembangunan ekonomi dan sosial orang Melayu serta Bumiputera. Penubuhan MARA, Tabung Haji, FELDA, FELCRA, RISDA dan pelbagai agensi lagi bukanlah keputusan bersifat sementara, tetapi hasil perbincangan panjang dan kesedaran terhadap realiti masyarakat ketika itu. MARA membuka ruang keusahawanan dan pendidikan, Tabung Haji memudahkan umat Islam menunaikan rukun Islam kelima dengan teratur dan selamat, manakala FELDA mengubah landskap kemiskinan luar bandar dengan menyediakan peluang pemilikan tanah dan pendapatan yang mampan.
Hakikatnya, semua pencapaian ini lahir daripada keberanian UMNO mendengar suara akar umbi dan menterjemahkannya dalam bentuk dasar. PAU menjadi jambatan antara idealisme perjuangan dan realiti pentadbiran negara.
Dalam suasana politik hari ini, adalah penting untuk kita mengetepikan polemik yang tidak berkesudahan. Serangan pihak luar, fitnah, dan usaha memburukkan parti adalah lumrah dalam perjuangan politik. Namun, UMNO tidak boleh terperangkap dalam reaksi emosi atau perbalahan yang melemahkan kesatuan dalaman. Apa yang lebih penting ialah fokus kepada usaha memperkukuh parti, memperbaiki kelemahan, dan kembali kepada tujuan asal penubuhan UMNO iaitu mempertahankan agama, bangsa dan tanah air dalam kerangka negara yang majmuk.
Realiti politik menuntut UMNO bersikap matang, berprinsip dan berpaksikan kepada kekuatan yang sedia ada. Pengalaman mentadbir negara selama puluhan tahun adalah aset besar yang tidak dimiliki oleh banyak parti lain. Pengalaman ini harus dimanfaatkan untuk membina semula keyakinan rakyat, khususnya generasi muda yang menilai politik berdasarkan keupayaan menyelesaikan masalah, bukan nostalgia semata-mata.
Dalam konteks Kerajaan Perpaduan hari ini, UMNO perlu melihatnya sebagai ruang dan peluang untuk kembali memperkukuh parti. Penyertaan dalam kerajaan bukan bermaksud mengorbankan prinsip, tetapi medan untuk menyumbang secara konstruktif, membawa idea, dan memastikan suara perjuangan UMNO perlu terus relevan dalam pentadbiran negara, dengan pendekatan yang rasional dan berfokus, UMNO boleh membuktikan bahawa parti ini masih mempunyai peranan besar dalam menjamin kestabilan dan kemajuan Malaysia.

PAU harus dijadikan titik tolak untuk muhasabah dan penyusunan semula. Ia perlu menjadi medan perbahasan yang matang, berani dan berpandangan jauh. Perbezaan pandangan tidak harus dilihat sebagai perpecahan, sebaliknya sebagai kekuatan jika diurus dengan hikmah. Dari sinilah UMNO boleh melahirkan idea-idea baharu, kepimpinan yang diyakini, dan hala tuju yang jelas.
Akhirnya, kekuatan UMNO terletak pada kesatuan ahlinya, kejelasan perjuangannya, dan keupayaannya menyesuaikan diri dengan perubahan zaman tanpa mengorbankan prinsip. PAU bukan sekadar perhimpunan, tetapi simbol kesetiaan kepada perjuangan yang telah membina negara. Selagi UMNO berpegang teguh kepada asas ini, selagi itulah parti ini akan terus relevan dan berperanan dalam sejarah Malaysia.
Justeru, marilah kita menjadikan Perhimpunan Agung UMNO ini sebagai titik kebangkitan. Jangan biarkan perbezaan kecil melemahkan saf perjuangan, dan jangan sesekali kita alpa terhadap tanggungjawab besar yang dipikul di bahu kita. UMNO tidak dibina dalam keadaan selesa, tetapi lahir daripada keberanian menghadapi cabaran dan kesanggupan berkorban demi masa depan bangsa dan negara.
Bersatu, Bersetia, Berkhidmat

Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman
Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK)
