PAU 2025 Titik Tolak Transformasi Parti Hadapi Cabaran Baharu – Farhan Ahmad

KUALA LUMPUR, 9 Jan – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena, Mohd Farhan Ahmad berpandangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 sebagai peluang emas untuk membina semula kekuatan parti dalam landskap politik yang semakin mencabar.

Menurutnya, dalam era perubahan sosial, ekonomi dan teknologi yang pesat, perhimpunan ini mesti menjadi titik tolak kepada transformasi sebenar berteraskan tindakan berkesan, pemikiran mendalam dan kesatuan yang kukuh.

Jelasnya, kegagalan untuk berubah hanya akan menyebabkan parti terus ketinggalan dan terperangkap dalam pendekatan lapuk yang tidak lagi relevan dengan realiti semasa rakyat.

Beliau berkata, keutamaan ialah memastikan gerak kerja parti lebih strategik dan berimpak. Ahli parti perlu beralih daripada penganjuran program bersifat sementara kepada pendekatan berasaskan data serta matlamat yang jelas.

Menurutnya, penganjuran program akar umbi yang konsisten dan boleh diukur impaknya, seperti pendidikan politik di kawasan masing-masing, jauh lebih berkesan dalam membina kepercayaan rakyat.

“Ahli parti juga perlu mengurangkan retorik kosong dan tampil dengan naratif yang kredibel. Ucapan bersifat bombastik tidak lagi memadai. Sebaliknya, gunakan fakta, data dan analisis yang sahih bagi meyakinkan rakyat, khususnya pengundi muda yang semakin kritikal,” katanya kepada UMNO Online.

Tambah Farhan, dalam masa yang sama ahli parti perlu dilatih dengan kemahiran berfikir kritis serta penyelesaian masalah agar UMNO dilihat sebagai sebuah parti yang bijaksana dan relevan.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa sayap-sayap parti seperti Wanita, Pemuda dan Puteri perlu diperkasakan sebagai enjin utama perekrutan dan penjangkauan parti.

UMNO memerlukan struktur organisasi yang lebih moden dan berkesan, termasuk penubuhan pusat penyelidikan di setiap sayap bagi memastikan gerak kerja lebih sinergi serta berimpak tinggi. Tanpa pengukuhan peranan sayap, parti itu berisiko kehilangan daya saing dalam mendekati generasi baharu.

Menurut Farhan, ahli parti juga perlu berani melakukan introspeksi dengan mengenal pasti punca sebenar masalah dalaman, termasuk persepsi terhadap isu rasuah dan kelemahan dasar.

“Reformasi hanya akan berjaya jika ia bermula dari akar permasalahan. UMNO juga perlu bersedia menghadapi PRU ke-16 dengan strategi holistik, latihan calon yang intensif serta pelan tindakan yang realistik, bukan sekadar bergantung kepada harapan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa budaya mengampu perlu dihentikan dan digantikan dengan budaya debat terbuka serta meritokrasi agar idea terbaik dapat diketengahkan.

“Budaya mengampu hanya membutakan kepimpinan dan melemahkan keberanian untuk menegur kesilapan. Ia bukan sahaja merosakkan budaya organisasi, malah menghakis kepercayaan akar umbi terhadap keikhlasan perjuangan parti,” ujarnya.

Tambah beliau, perhimpunan parti seharusnya menghasilkan solusi konkrit dan dasar yang boleh dilaksanakan dengan segera.

“Hanya melalui pendekatan ini, UMNO akan kembali dilihat sebagai parti yang bertanggungjawab, berwawasan dan mampu menyumbang secara bermakna kepada negara,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO