PAU: Ruang Suara Akar Umbi Yang Mahu Kejelasan, Ketegasan Dan Keadilan

KUALA LUMPUR, 8 Jan – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) mesti menjadi ruang untuk para perwakilan membawa suara akar umbi yang mahu kejelasan, ketegasan dan keadilan.

Pengarah Komunikasi UMNO Negeri Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, PAU pada kali ini juga perlu menjadi medan muhasabah dan penentuan hala tuju terutamanya apabila Kerajaan Perpaduan hampir mencapai tiga tahun usianya.

“PAU perlu menjadi medan muhasabah dan penentuan hala tuju, khususnya selepas genap hampir tiga tahun UMNO berada dalam Kerajaan Madani.

“Pada pandangan saya, para perwakilan wajib membincangkan secara jujur dan terbuka prestasi UMNO dalam Kerajaan Perpaduan, termasuk tahap sokongan rakyat dan akar umbi.

“Kedua, menilai sama ada asas dan identiti perjuangan UMNO iaitu agama Islam, bangsa Melayu dan Perlembagaan masih dipertahankan secara konsisten atau semakin kabur.

“Selain itu, mengangkat isu keadilan dan pembelaan terhadap pemimpin parti, termasuk kes melibatkan Datuk Seri Najib, dalam kerangka undang-undang dan Perlembagaan,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar menegaskan bahawa PAU pada kali ini perlu menyentuh isu-isu sensitif demi menentukan masa depan parti.

“PAU mesti menjadi ruang untuk perwakilan membawa suara akar umbi yang mahu kejelasan, ketegasan dan keadilan, bukan sekadar legitimasi keputusan sedia ada. PAU kali ini perlu berani menyentuh isu-isu mutakhir dan sensitif yang menentukan masa depan UMNO.

“Pertama, penilaian hala tuju UMNO selepas tiga tahun dalam Kerajaan Madani
perlu dibentangkan secara berfakta … adakah sokongan rakyat terhadap UMNO semakin pulih atau terus terhakis?

“Kedua, penegasan semula identiti perjuangan UMNO. UMNO mesti jelas dan konsisten mempertahankan agama Islam, bangsa Melayu, institusi Raja-Raja dan Perlembagaan, tanpa rasa takut atau berselindung di sebalik persepsi,” katanya lagi.

Tambahnya, isu yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kini menjadi simbol keadilan, konsistensi dan keberanian parti mempertahankan ahlinya secara berprinsip.

“Berhubung isu pembelaan terhadap Datuk Seri Najib Razak … selepas keputusan mahkamah berkaitan Titah Addendum dan perkembangan terkini kes 1 Malaysia Development Berhad (MDB), PAU wajar membincangkan mengenai kedudukan prinsip keadilan dan proses perlembagaan.

“Di samping itu, pendirian parti dalam mempertahankan hak perundangan tanpa mencampuri urusan mahkamah dan apakah langkah seterusnya (what’s next?) dari sudut politik, moral serta perundangan yang berhemah perlu diterjemahkan pada PAU kali ini.

“Akhir sekali, hubungan UMNO dengan sentimen akar umbi. Isu Datuk Seri Najib bukan lagi soal individu semata-mata, tetapi telah menjadi simbol keadilan, konsistensi dan keberanian parti mempertahankan ahlinya secara berprinsip,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa para perwakilan perlu keluar daripada PAU dengan membawa hala tuju jelas dan semangat untuk bangkit semula di persada politik tanah air.

“Harapan saya ialah PAU kali ini menjadi titik kejelasan, bukan pentas pengelakan. UMNO perlu keluar dari PAU dengan hala tuju yang jelas selepas tiga tahun dalam Kerajaan Madani.

“Kedua, pendirian yang berprinsip dalam isu pembelaan Datuk Seri Najib, berasaskan kedaulatan undang-undang dan Perlembagaan. Akhir sekali, penegasan identiti perjuangan UMNO agar akar umbi tidak lagi tertanya-tanya ke mana arah parti ini.

“UMNO tidak akan bangkit dengan berdiam diri atau bersikap selesa. UMNO hanya akan kembali diyakini apabila berani menilai diri, mempertahankan prinsip, dan membuat keputusan yang jelas walaupun sukar,” katanya lagi.

Terdahulu, PAU yang pada asalnya dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 29 November telah ditangguhkan ke 14 hingga 17 Januari tahun depan untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Untuk rekod, mesyuarat cawangan-cawangan UMNO seluruh negara telah diadakan pada 7 April sehingga 25 Mei manakala mesyuarat bahagian-bahagian UMNO pula dimulakan pada 9 Jun sehingga 27 Julai. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO