PAU Membolehkan Perwakilan Nilai Semula Dasar, Strategi Parti – Norshida

KUALA LUMPUR, 8 Jan – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dilihat mampu membolehkan para perwakilan menilai semula dasar dan strategi parti agar sentiasa mengikut perkembangan politik tanpa mengabaikan prinsip asal perjuangan.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Segamat, Datuk Norshida Ibrahim berkata, PAU juga menjadi ruang terbaik untuk para perwakilan mengemukakan isu-isu semasa bagi mencari penyelesaian secara bersama.

“Pada pandangan saya, PAU sentiasa menjadi platform untuk para perwakilan berdialog dan bertukar pandangan. Ia juga menjadi peluang terbaik para perwakilan untuk mengemukakan isu-isu semasa, cabaran dan peluang yang dihadapi parti agar dapat mencari penyelesaian secara kolektif.

”PAU juga berfungsi untuk memperkukuh kesepakatan dan muafakat dalam parti. Ia boleh dicapai dengan perbahasan dan perbincangan terbuka. Di samping itu, para perwakilan juga dapat mengukuhkan perpaduan dan komitmen terhadap matlamat perjuangan parti.

“Apa yang lebih penting, PAU dilihat mampu mengekalkan semangat perjuangan para perwakilan yang relevan dengan zaman. Ia turut membolehkan perwakilan menilai semula dasar dan strategi agar sentiasa mengikuti perkembangan politik, ekonomi dan sosial negara tanpa mengabaikan prinsip asal perjuangan UMNO.

“Daripada PAU ini, kita juga akan dapat membina jaringan dan kerjasama antara bahagian. Perwakilan boleh merapatkan hubungan dengan komponen Barisan Nasional (BN) agar terus padu dalam menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya kepada UMNO Online.

Ujarnya, strategi untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 perlu dibincangkan pada PAU kali ini bagi mengenal pasti cabaran yang perlu ditangani.

“Isu kepimpinan dan penstrukturan parti perlu dibawa dan dibincangkan pada PAU kali ini. Pengukuhan kepimpinan yang berwibawa perlu diterjemahkan untuk memastikan parti terus relevan dan berkesan dalam mengemudi negara.

“Selain itu, strategi menghadapi PRU ke-16 juga perlu diketengahkan. Ia mestilah berkisarkan perancangan yang mantap dan berstrategi khususnya dalam menghadapi cabaran politik semasa seperti polarisasi masyarakat, cabaran dari parti lawan dan isu-isu nasional.

“Ketiga, isu dasar ekonomi dan pembangunan rakyat. Pembentangan rancangan pemulihan ekonomi pasca-pandemik yang mampu mensejahterakan rakyat serta mengurangkan jurang sosioekonomi juga perlu diberi perhatian pada PAU kali ini,” katanya lagi.

Tambahnya, pengukuhan jati diri dan nilai bangsa Melayu juga perlu dibincangkan untuk memastikan perjuangan UMNO terus relevan.

“Peranan UMNO dalam membina perpaduan negara juga amat penting. Perbincangan mengenai bagaimana parti dapat terus berperanan sebagai tonggak perpaduan di antara kaum dan berkongsi keharmonian nasional.

“Akhir sekali, pengukuhan jati diri dan nilai bangsa Melayu. Ini untuk memastikan perjuangan UMNO terus relevan dengan mengekalkan warisan dan kepentingan rakyat majoriti tanpa mengabaikan keharmonian masyarakat berbilang kaum.

“Saya berharap agar PAU ini menjadi medan yang benar-benar dinamik dan berinovasi, berfungsi sebagai ruang untuk suara rakyat serta akar umbi didengari di samping memperoleh kata sepakat dalam setiap keputusan diambil bagi membawa parti ke arah lebih mantap dan berintegriti.

“Pelan tindakan yang jelas dan praktikal perlu dihasilkan agar ia bukan sekadar retorik tetapi dapat dilaksanakan dengan berkesan selain membaiki dan mengukuhkan perpaduan dalam parti agar setiap ahli serta penyokong UMNO dapat bersemangat juang tanpa perpecahan dalaman,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO