Persidangan UMNO Iltizam Ahli Jadi Nadi Perkukuhkan Parti – Dr Masliha

KUALA LUMPUR, 6 Jan – Menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025, semangat kesungguhan dan iltizam ahli parti amat ditagih untuk memperkukuh kembali asas perjuangan yang berteraskan agama, bangsa dan tanah air.

Exco Wanita UMNO Malaysia, Dr Masliha Harun berkata dalam landskap politik yang semakin mencabar dan penuh persaingan, kesatuan dalaman parti menjadi kunci utama untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO sebagai wadah perjuangan yang tulen dan relevan.

“Persidangan ini harus menjadi titik lonjakan ke arah reformasi dalaman yang matang, dan bukti bahawa UMNO bersedia menjadi teras perpaduan nasional yang berwibawa. Kesungguhan ini hanya akan bermakna jika diterjemah dalam tindakan di seluruh peringkat akar umbi, kepimpinan, dasar dan khidmat kepada masyarakat.

“Ahli parti perlu terus memperkukuh nilai integriti, berpegang teguh pada prinsip, serta berani melakukan muhasabah dan pembaharuan. PAU bukan sekadar platform berhimpun, tetapi medan memperjelas hala tuju, memperbaharui azam, dan memperteguh solidariti.

“Dengan cabaran ekonomi, sosial dan geopolitik semasa, pemimpin UMNO mesti kembali kepada akar umbi iaitu membela nasib rakyat tanpa mengira kedudukan, memperkasakan pendidikan anak bangsa, serta mempertahankan kedaulatan agama Islam sebagai tunjang negara,” katanya kepada UMNO Online.

Tambah beliau, kesungguhan dan kebersamaan ini harus dilihat sebagai satu iltizam baharu wanita UMNO untuk menjadi sebahagian daripada solusi negara bukan hanya dari sudut politik, tetapi juga dalam pembinaan kapasiti bangsa.

Mengulas lanjut, Masliha yang juga Pengerusi Sekretariat Wanita Profesional (SWP) menjelaskan SWP turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh iltizam dan hala tuju perjuangan parti.

“SWP akan terus memperkasakan suara wanita profesional sebagai penyumbang dasar, pemangkin perubahan yang lebih progresif, bersatu dan berpandangan jauh. Ini selari dengan semangat perjuangan UMNO yang berteraskan agama, bangsa dan tanah air, dengan pendekatan yang lebih segar dan relevan terhadap cabaran masa kini.

“SWP bukan sekadar melengkapkan perwakilan wanita, tetapi tampil sebagai tenaga profesional yang membawa kepakaran dalam pelbagai bidang kesihatan, pendidikan, keusahawanan, teknologi dan dasar sosial.

“Pada PAU ini SWP akan memanfaatkan ruang untuk meneruskan advokasi dasar berkaitan wanita dan keluarga; mempromosi dasar inklusif yang menyantuni golongan rentan dan menjadi jambatan antara profesional muda dengan akar umbi,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO