Hari Penamaan Calon: “Tugas Kita Bermula Secara Rasmi Hari Ini”

KOTA KINABALU, 15 Nov – Hari ini medan pertarungan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dibuka gelanggang dengan proses penamaan calon di 25 lokasi bagi merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Barisan Nasional akan bertanding di 45 DUN.

Di SEPANGGAR, BN meletakkan penyandang DUN Karambunai Datuk Yakub Khan yang juga Ketua UMNO Bahagian Sepanggar sebagai calon manakala DUN Darau diwakili Ketua Pemuda UMNO bahagian Arfanshah Abdul Gafar.

Seawal jam 7.30 pagi, dengan keadaan cuaca yang cerah, para jentera dan penyokong BN mula berhimpun di perkarangan Pusat Dagangan Sabah di sini dan lebih seribu orang hadir sambil menunggu ketibaan Pengerusi BN merangkap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada tepat jam 8.20 pagi.

Kehadiran Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO disambut dengan laungan “radu tetap radu” dan “radu sampai menang” daripada jentera tempatan dan angkat sambil mengibarkan bendera BN.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Datuk Mohd Razlan Rafii serta Timbalan Pengerusi UMNO Negeri Melaka Datuk Rais Yasin.

Majlis ringkas turut diadakan dimulai dengan bacaan doa selamat sebelum ucapan aluan daripada kedua-dua calon BN.

Arfanshah dalam ucapan ringkasnya berkata sokongan semua jentera amat diperlukan bagi memastikan BN berjaya merampas kerusi DUN Darau dan mempertahankan DUN Karambunai.

“Beri saya peluang, saya akan buat yang terbaik untuk DUN Darau, insya-Allah. Saya memohon kepada semua jentera bantulah saya dan Datuk Ketua Bahagian (Yakub Khan). Jika ada kerjasama, kita pasti pada 29 November nanti DUN Darau dan Karambunai akan menyumbang untuk membentuk dan melengkapkan Kerajaan Negeri Sabah,” katanya.

Manakala Yakub Khan pula mengucapkan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada Presiden parti yang masih mempercayainya untuk diletakkan di DUN Karambunai dan anak muda di DUN Darau.

“Tugas kita bermula secara rasmi hari ini. Saya menuntut kepada semua (jentera), selepas penamaan calon kita bertebaranlah di bumi Sepanggar di DUN Karambunai dan Darau.

“Saya yakin anak-anak muda pasti bangga dengan peletakan calon anak muda di DUN Darau,” katanya.

Kepimpinan dan calon BN turut mengambil kesempatan beramah mesra dengan jentera dan penyokong yang hadir sebelum ke pusat penamaan calon yang dibuka pada jam 9 pagi.

Tempoh satu jam diberikan iaitu dari jam 9 pagi hingga 10 pagi untuk penyerahan borang pencalonan sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) mengumumkan senarai calon yang layak bertanding.

Atas faktor keselamatan dan arahan pihak berkuasa, tiada perarakan antara parti-parti bertanding ke pusat penamaan calon di Dewan Maksak Kota Kinabalu di sini.

Selain calon BN serta pencadang dan penyokongnya, Ahmad Zahid dan Ab Rauf turut hadir ke pusat pusat penamaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 29 November bagi PRN Sabah manakala tarikh pengundian awal bagi pada 25 November. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO