WHI 2025 Inisiatif HDC Perkasa Usahawan Wanita Dalam Industri Halal – Noraini
KUALA LUMPUR, 12 Nov – Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata Women In Halal Industry (WHI) adalah inisiatif Halal Development Corporation Berhad (HDC) yang memfokuskan kepada pembangunan kapasiti, kepimpinan dan penyertaan aktif golongan wanita dalam ekosistem industri halal.
Menurut Noraini, program tersebut bertujuan membuka ruang lebih luas kepada usahawan, profesional dan bakat wanita untuk terlibat dalam rantaian nilai halal merangkumi pembuatan, logistik, perkhidmatan, teknologi serta pensijilan.

“Melalui latihan berstruktur, bimbingan industri, rangkaian strategik dan peluang perniagaan, WHI berperanan memperkukuh keupayaan wanita agar lebih kompetitif, berdaya saing dan mampu memacu pertumbuhan sektor halal negara.
“Inisiatif ini turut menyokong agenda nasional memperkasa wanita sebagai peneraju ekonomi halal di peringkat domestik dan global,” kata Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebooknya.
Pada Selasa, Noraini berkesempatan hadir memenuhi jemputan bagi merasmikan Penutup Program WHI Grand Kick Off Series 2025: Transformasi Wanita Dalam Industri Halal anjuran Halal Development Corporation Berhad (HDC) bertempat di Auditorium Menara Dato’ Onn, WTC di sini.
Turut bersama hadir ialah Pemangku Pengerusi HDC Datuk Azhari Shaari, Ketua Pegawai Komunikasi Korporat HDC merangkap Pengarah Projek WHI Nora’shekin Yusof, mentor-mentor WHI dan rakan-rakan strategik WHI.

“Syabas diucapkan kepada pihak HDC dan Sekretariat WHI di atas usaha dalam memastikan program ini berjalan dengan jayanya.
“Tahniah juga diucapkan buat semua usahawan wanita yang hadir mengikuti program ini. Saya difahamkan sepanjang dua hari ini, para peserta telah menunjukkan semangat tinggi, komitmen, dan keterujaan dalam setiap sesi, daripada perkongsian ilmu, latihan, sehingga sesi membina jaringan strategik,” tambah Ahli Parlimen Parit Sulong itu lagi.
Selain itu, Noraini juga berharap agar segala ilmu, pengalaman, dan jaringan yang diperoleh sepanjang dua hari itu memberi manfaat yang berpanjangan buat semua usahawan. – UMNO ONLINE
