Utamakan Bahasa Melayu, Satukan Rakyat Pelbagai Kaum
KUALA LUMPUR, 3 Nov – Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi bahkan menjadi tiang seri yang menyatukan rakyat pelbagai kaum di negara ini, kata Ketua Penerangan Pemuda UMNO Sungai Buloh, Muhammad Aizat Abdul Rahim.
Ujarnya, setiap pemimpin wajar menunjukkan contoh teladan yang baik dengan menghormati bahasa kebangsaan itu.

“Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan yang menjadi lambang perpaduan, maruah dan identiti negara Malaysia. Setiap pemimpin dan warga negara wajar menunjukkan contoh teladan dengan menghormati serta mengutamakan penggunaannya dalam semua urusan rasmi.
“Sebarang teguran yang dibuat berhubung penggunaan Bahasa Melayu seharusnya diterima dengan hati terbuka, sebagai usaha memperkukuh martabat bahasa dan memperkasakan jati diri nasional. Sikap keterbukaan dalam menerima pandangan adalah tanda kematangan dan kebijaksanaan seorang pemimpin,” katanya.
Mengulas lanjut beliau turut berpandangan bahawa semua pihak perlu mendahulukan penggunaan Bahasa Melayu dalam kenyataan rasmi dan sebagainya.
“Dalam masa sama, semua pihak perlu memastikan kenyataan rasmi kerajaan, agensi atau organisasi mendahulukan penggunaan Bahasa Melayu, selaras dengan kedudukannya yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi, tetapi tiang seri yang menyatukan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
“Kita berharap agar semua pihak terus memartabatkan Bahasa Melayu dengan penuh rasa tanggungjawab dan kasih terhadap tanah air tercinta ini,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
