Perkukuh Kualiti Pendidikan Awal Kanak-kanak Melalui Kerjasama Dengan Swasta
KUALA LUMPUR, 3 Nov –Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah mengetengahkan isu pendidikan awal kanak-kanak di Dewan Rakyat hari ini, dengan menekankan kepentingan meningkatkan kualiti prasekolah di seluruh negara.
Beliau yang juga Pengerusi Backbenchers bertanya sejauh mana strategi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menjalin kerjasama dengan pihak swasta untuk dalam menambahbaik jurang kualiti pendidikan awal
“Bagaimanakah Kementerian merangka strategi kerjasama dengan pihak swasta bagi meningkatkan kualiti dan infrastruktur prasekolah, memandangkan saya melihat masih banyak kemudahan yang kurang memuaskan, sedangkan peruntukan kerajaan juga terbatas? Adakah penglibatan sektor swasta dilakukan dengan langkah yang baik?
“Keluaran prasekolah juga berdepan isu ketidaksamarataan dari segi kualiti kerana 20 hingga 36 peratus institusi prasekolah disumbangkan oleh pihak swasta. Bagaimanakah Kementerian melihat keluaran daripada prasekolah yang tidak sama rata ini membantu untuk proses kemasukan ke pendidikan rendah, dan apakah langkah persediaan?
“Kita tidak mahu anak-anak kita terasing bukan kerana status kaya atau miskin, tetapi kerana jurang kualiti pendidikan awal yang mereka terima,” katanya.
Mohd Shahar yang juga Ketua UMNO Bahagian Paya Besar berkata demikian kepada Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh ketika waktu pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan pagi tadi.
Menjawab kepada persoalan tersebut, Wong berkata akses terhadap pendidikan awal kanak-kanak merupakan antara fokus utama KPM bagi memastikan murid yang bakal memasuki Tahun Satu mempunyai persediaan yang mencukupi.
Sehubungan itu, katanya bermula tahun 2026, KPM menyasarkan perluasan prasekolah sebanyak 350 buah kelas dengan peruntukan RM125 juta.
“Ini merupakan perluasan dan peruntukan terbesar yang pernah dilaksanakan setakat ini. Selain itu, peluasan prasekolah ini tidak lagi terhad kepada sekolah rendah semata-mata, tetapi turut melibatkan institusi lain di bawah KPM seperti sekolah menengah, Kolej Vokasional, Matrikulasi serta Institut Pendidikan Guru (IPG).
“KPM sentiasa menegaskan agar semua tadika swasta berdaftar dengan kementerian supaya mereka dapat menggunakan Kurikulum Prasekolah KPM yang sedia
ada. Ini penting bagi memastikan keseragaman kualiti pendidikan serta kesediaan pelajar apabila melangkah ke peringkat sekolah rendah.
“Oleh itu, KPM menyeru agar semua tadika yang masih belum berdaftar dapat berbuat demikian dengan segera demi kepentingan dan masa depan anak-anak kita,” ujar beliau. – UMNO Online
