Pahang Akan Terus Jadi Destinasi Pelaburan, Hab Industri Strategik
KUALA LUMPUR, 3 Nov – Kerajaan Negeri dan Persekutuan akan terus memastikan Pahang kekal menjadi destinasi pelaburan utama serta hab industri strategik di Pantai Timur.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan beliau telah ke Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Jabatan Tenaga Manusia (JTM) Kampus Kuantan di Gebeng untuk Sesi Ramah Mesra Bersama Penggerak Industri Kuantan, pada Ahad.

“Meneruskan tugasan hari ini sebagai wakil rasmi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia ke ADTEC, JTM Kampus Kuantan di Gebeng untuk Sesi Ramah Mesra Bersama Penggerak Industri Kuantan.
“Kawasan Perindustrian Gebeng misalnya menjadi antara hab pelaburan utama Pahang bukan sahaja untuk sektor kimia dan petrokimia, tetapi juga automotif, keluli tahan karat, gentian simen serta teknologi hijau,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Ujarnya, kedudukan strategik Gebeng menjadikan kawasan tersebut sebagai pusat logistik dan perindustrian berdaya saing.
“Dalam pada itu, kedudukan strategik Gebeng berhampiran Pelabuhan Kuantan dan laluan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Stesen Bandar Pelabuhan Kuantan yang sedang dibina, menjadikan kawasan ini sebagai pusat logistik dan perindustrian berdaya saing.
“Oleh itu, Kerajaan Negeri dan Persekutuan akan terus memastikan Pahang kekal menjadi destinasi pelaburan utama dan hab industri strategik di Pantai Timur,” katanya lagi.
Terdahulu, beliau juga telah hadir untuk merasmikan Majlis Perasmian Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 (HPPK2025).
“Saya telah berada di Temerloh sebagai wakil rasmi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, bagi Majlis Perasmian Karnival HPPK2025.
“Sebagai Penasihat Khas Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana Kebangsaan (MPUPK), saya berasa amat bertuah dapat bersama-sama para usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menjadi tonggak penting dalam menjana ekonomi negara.
“Merekalah golongan yang sentiasa berusaha gigih menggerakkan roda ekonomi di setiap penjuru, mencipta peluang pekerjaan, serta membina kekuatan ekonomi di peringkat akar umbi,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa sektor PMKS akan terus berkembang maju dan berdaya tahan.
“Saya yakin dengan sokongan berterusan daripada kerajaan, sektor PMKS akan terus berkembang maju dan berdaya tahan, sekaligus menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi rakyat dan negeri Pahang khususnya.
“Semoga semangat keusahawanan ini terus subur dan para usahawan kecil terus melangkah jauh dalam merealisasikan impian demi keluarga, masyarakat serta negeri tercinta,” katanya lagi. – UMNO Online
