Kerajaan Johor Terus Komited Perkukuh Kesejahteraan Rakyat
SEDENAK, 3 Nov – Kerajaan Negeri Johor terus memperkukuh kesejahteraan rakyat melalui pelbagai inisiatif kebajikan dan program turun padang, antaranya Majlis Penyerahan Bantuan Kasih Johor yang diadakan sempena Sambutan Pesta Tanglung di Dewan Serbaguna Kampung Baru Sedenak baru-baru ini.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, majlis tersebut bukan sahaja meraikan sambutan kebudayaan masyarakat setempat, tetapi juga menjadi wadah penting bagi menyantuni golongan memerlukan serta memperkukuh semangat perpaduan di kalangan rakyat.

“Sebanyak 171 penerima daripada Kampung Baru Sedenak dan Kampung Baru Sengkang menerima sumbangan berupa wang tunai dan bakul makanan dengan jumlah keseluruhan RM24,375. Bantuan ini diharap dapat meringankan beban keluarga yang memerlukan serta memberi sinar kepada mereka menjelang penghujung tahun,” katanya.
Beliau turut menzahirkan rasa terharu melihat suasana penuh perpaduan dan kemesraan sepanjang majlis berlangsung, yang diserikan dengan nyanyian lagu Bangsa Johor dan Negaraku, persembahan budaya serta penyampaian simbolik Bakul Makanan dan Bantuan Kasih Johor.
“Program sebegini membuktikan semangat Bangsa Johor yang penuh kasih, saling menghargai dan sentiasa bersatu. Ia bukan sekadar penyerahan bantuan, tetapi juga usaha memperkukuh ukhuwah dan memperlihatkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat,” tambah beliau.

Mohd Jafni turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Johor di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, sentiasa komited dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus dipelihara.
“Usaha turun padang seperti ini membuktikan bahawa kepimpinan negeri dan wakil rakyat sentiasa dekat di hati rakyat. Kita akan terus bersama rakyat dalam susah mahupun senang,” katanya lagi. – UMNO Online
