Hospital Pengajar UMS Dijangka Siap Sepenuhnya Pada Disember – Zambry
KUALA LUMPUR, 3 Nov – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memaklumkan bahawa projek Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sabah (HUMS) dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2025.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, ia bermula dengan keluluskan projek hospital pengajar universiti berkenaan pada tahun 2017 dan pembinaannya telah bermula pada tahun yang sama.
“Pembinaannya telah bermula pada tahun yang berkenaan dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2025.
“Kebetulan semalam juga saya berada di Sabah, saya telah mendapatkan maklum balas berkaitan dengan perjalanan dan juga perkembangan hospital yang berkenaan.
“Insya-Allah dijangkakan pada Disember ini operasi pertamanya akan bermula,” katanya.
Zambry menyatakan demikian pada sesi Penggulungan Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 Peringkat Dasar, di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa buat masa ini, kerajaan tidak berhasrat untuk menambah bilangan universiti di negara ini.
Sebaliknya kata Zambry fokus KPT bagi meningkatkan kualiti penyampaian pendidikan membabitkan kursus-kursus yang ditawarkan.
“IPTA pada masa kini mempunyai 587 institusi iaitu merangkumi 20 universiti awam, 35 kampus cawangan UiTM, 10 hospital pengajar universiti, 36 politeknik, 106 kolej komuniti, 382 IPTS yang sedang beroperasi.
“Kecenderungan adalah menaik taraf kampus-kampus sedia ada supaya mereka dapat menawarkan kursus-kursus terbaik.
“Kita harapkan keputusan ini juga diambil selari dengan dasar-dasar negara yang memerlukan kita untuk melihat secara keseluruhan apakah bidang-bidang yang akan kita kemukakan nanti,” ujar beliau. – UMNO Online
