Ahmad Zahid Ucap Selamat Menduduki Peperiksaan SPM 2025

KUALA LUMPUR, 3 Nov – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan selamat menduduki peperiksaan kepada semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang memulakan peperiksaan hari ini.

Beliau berkata, seramai 413,372 calon akan menduduki peperiksaan di 3,350 pusat peperiksaan di seluruh negara.

“Saya tahu anda telah berusaha keras untuk menghadapi hari ini. Inilah masanya untuk membuktikan kemampuan diri. Keluarkanlah segala ilmu yang telah dipelajari dengan tenang dan yakin,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya.

Ahmad Zahid turut menasihati para calon agar menjaga kesihatan, mengurus masa dengan baik serta memohon restu dan doa daripada ibu bapa serta guru-guru.

“Saya doakan anda semua berjaya dengan cemerlang. Give your very best, then let Allah SWT take care of the rest. Success will find its way, insya-Allah,” tambahnya.

SPM 2025 akan berlangsung sehingga 23 Disember dengan Ujian Bertutur Bahasa Melayu akan diadakan pada 3 hingga 6 November manakala Ujian Bertutur Bahasa Inggeris pada 10 hingga 13 November.

Ujian Amali Sains pula akan berlangsung pada 17 hingga 19 November, Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris diadakan pada 20 November, sementara peperiksaan bertulis pula akan berlangsung pada 25 November hingga 23 Disember ini. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO