Terus Perkukuh Parti, Sedia Galas Cabaran – UMNO Langkawi
LANGKAWI, 2 Nov — UMNO Bahagian Langkawi menzahirkan harapan agar segala keputusan dan perancangan yang telah dirumuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah (BPUNK) dapat dilaksanakan dengan sebaiknya demi memperkukuh kekuatan parti serta mempererat perpaduan ummah.
Mesyuarat berkenaan yang dipengerusikan oleh Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, di Pejabat UMNO Negeri Kedah turut dihadiri oleh Ketua-Ketua UMNO Bahagian, Ketua-Ketua Sayap serta ahli-ahli Jawatankuasa BPUNK.
Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Mohd Nazifuddin Najib berkata, pelbagai perkara penting dibincangkan termasuk perancangan program dan aktiviti perhubungan, pelantikan semula Jawatankuasa Penyelaras Khas Kemas Parlimen (JPKKP) bagi sesi 2026/2027, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah serta beberapa agenda berkaitan hala tuju parti.
Beliau menegaskan komitmen UMNO Langkawi untuk terus mendukung setiap keputusan yang dibuat demi memastikan parti kekal utuh dan relevan sebagai wadah perjuangan bangsa, agama dan tanah air.
“UMNO Langkawi berharap segala keputusan dan perancangan ini dapat diterjemahkan dengan berkesan bagi memperkukuh kekuatan parti serta mempererat perpaduan ummah,” katanya. – UMNO Online
