Hari Kedua Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 Kukuhkan Hubungan Strategik ASEAN, Kerjasama Serantau

KUALA LUMPUR, 27 Okt — Hari kedua Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan diteruskan dengan pelbagai sesi penting yang memperkukuh kedudukan Malaysia dan rantau ASEAN di peringkat antarabangsa.

Sidang pagi tadi dimulakan dengan Sidang Kemuncak ASEAN–Republik Korea (ROK) ke-26, yang dipengerusikan bersama oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Presiden Republik Korea, TYT Lee Jae Myung.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata hubungan erat antara ASEAN dan Republik Korea selaras dengan kerangka Perkongsian Strategik Komprehensif yang menyokong hasrat bersama untuk memajukan rantau yang aman, stabil dan makmur.

Beliau berkata, komitmen yang dizahirkan kedua-dua pihak membuktikan bahawa kerjasama erat antara ASEAN dan Korea mampu membawa manfaat besar kepada pembangunan ekonomi dan kemajuan sosial rantau ini.

“Hubungan ASEAN – Korea yang berasaskan saling percaya dan menghormati ini kini semakin kukuh melalui Perkongsian Strategik Komprehensif, selaras dengan hasrat bersama untuk memajukan rantau yang aman, stabil dan makmur,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Sidang diteruskan dengan Sidang Kemuncak ASEAN Plus Three (APT) ke-28, yang dipengerusikan oleh Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, bersama tiga rakan dialog utama iaitu Jepun, China dan Republik Korea.

Mohamad menjelaskan, selama hampir tiga dekad, APT telah menjadi platform utama bagi dialog dan kerjasama serantau yang memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan serta kemajuan Asia Timur.

“Melalui kerjasama erat APT, negara-negara anggota dapat memperkukuh ketahanan rantau, menggalakkan integrasi ekonomi yang lebih mendalam, serta mempertingkat rantaian bekalan, kemajuan teknologi dan pembangunan mampan untuk kesejahteraan bersama,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO