Malaysia Komited Keluar Status Risiko Standard EUDR, Tubuh Jawatankuasa Khas
KUALA LUMPUR, 23 Okt – Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani memaklumkan pihaknya mengambil beberapa langkah proaktif bagi mengeluarkan Malaysia daripada status ‘risiko standard’ di bawah Peraturan Penyahutanan EU (EUDR).
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata ini termasuk penubuhan Jawatankuasa Khas Pelaksanaan EUDR.
“Skop bidang tugas bagi jawatankuasa ini merangkumi perkara-perkara seperti membincangkan isu utama pelaksanaan EUDR yang timbul merentasi bidang kuasa pelbagai Kementerian/Agensi.
“Ia juga akan membincangkan isu-isu relevan yang berpotensi menjejaskan ketepatan data terkini yang diserahkan oleh Malaysia untuk Laporan Global Forest Resource Assessments (FRA) kepada Food and Agricultural Organization of the United Nations (FAO) dalam proses pengklasifikasian Malaysia bagi pelaksanaan EUDR.
“Jawatankuasa ini juga akan memastikan kriteria kuantitatif dan kualitatif seperti yang digunapakai oleh EU dalam proses pengklasifikasian status risiko negara dapat dipenuhi,” katanya.
Johari dalam pada itu memaklumkan jawatankuasa ini telah mengadakan mesyuarat pertamanya pada 26 Jun 2025 lalu.
Katanya mesyuarat tersebut meneliti strategi dan langkah-langkah yang perlu dilaksanakan terutamanya melibatkan penilaian kriteria country benchmarking yang berada di bawah bidang tugas merentasi fungsi pelbagai Kementerian lain.
“Antaranya penyelarasan laporan data hutan dan penguatkuasaan perundangan berkaitan perhutanan oleh pihak Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
“Pematuhan dan penguatkuasaan undang-undang yang melindungi hak asasi manusia termasuk hak komuniti pribumi oleh pihak Kementerian Kesejahteraan Desa dan Wilayah (KKDW).
“Serta penekanan elemen kemampanan dalam rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) oleh pihak Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI),” ujar beliau.
Menurut beliau langkah-langkah ini akan dilaksanakan secara holistik merentasi Kementerian bagi memastikan Malaysia dapat dikategorikan semula sebagai negara berisiko rendah dalam pelaksanaan EUDR. – UMNO Online
