Scam: Kerajaan Perkukuh Undang-Undang, Tangani Jenayah Siber
KUALA LUMPUR, 17 Okt – Kerajaan telah mengambil inisiatif dengan memperkukuhkan undang-undang untuk menangani kes jenayah siber terutamanya jenayah penipuan dalam talian ataupun scam.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, kerajaan telah membuat pindaan ke atas Kanun Keseksaan (Akta 574) bagi menangani kes jenayah siber khususnya penipuan kewangan melibatkan penggunaan akaun keldai.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyedari sepenuhnya bahawa jenayah penipuan dalam talian atau scam telah menunjukkan trend peningkatan yang amat membimbangkan.
“Ancaman ini tidak mengenal mangsa dan telah menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada rakyat. Dalam memerangi jenayah penipuan dalam talian yang semakin membimbangkan ini, Kerajaan amat tegas melaksanakan serta memperkukuhkan langkah dalam memerangi jenayah ini.
“Dari aspek perundangan, Kerajaan telah membuat pindaan ke atas Kanun Keseksaan (Akta 574) untuk menangani kes jenayah siber khususnya penipuan kewangan melibatkan penggunaan akaun keldai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau yang juga Ahli Majli Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, peruntukan baharu dalam akta tersebut membolehkan PDRM untuk menyiasat dengan lebih terperinci ke atas individu yang membenarkan akaun mereka digunakan sebagai akaun keldai.
“Melalui peruntukan baharu Seksyen 424A, 424B, 424C, dan 424D, PDRM kini mempunyai kuasa lebih kukuh dan tegas untuk menyiasat dan tuduh dengan hukuman yang lebih berat ke atas individu yang terlibat dalam menggunakan instrumen pembayaran atau menggunakan serta membenarkan akaun mereka digunakan sebagai akaun keldai (mule account).
“Jika sabit kesalahan, pemilik akaun keldai boleh dihukum penjara tidak kurang 3 tahun dan tidak melebihi 10 tahun, atau denda tidak kurang RM10,000.00 atau tidak lebih RM150,000.00 atau kedua-duanya.
“Selain itu, Kerajaan juga telah meminda Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) membabitkan penambahan peruntukan Seksyen 116D. Seksyen ini memberikan kuasa kepada pegawai polis untuk menyita akaun bank atau sebarang instrumen kewangan yang dipercayai terlibat dengan aktiviti jenayah, termasuklah akaun keldai.
“Tindakan ini membolehkan wang yang dicuri tidak dapat dipindahkan oleh penjenayah, sekaligus menyekat urusan transaksi kewangan haram secara serta-merta. Selain itu, kerajaan juga sedang menggubal Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan jenayah siber sebagai sebahagian usaha membanteras jenayah siber di negara ini,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa Pusat Respon Penipuan Kebangsaan atau National Scam Response Centre (NSRC) telah diletakkan di bawah kawal selia KDN dan diterajui oleh PDRM.
“Mulai 26 Jun 2025, NSRC telah diletakkan di bawah kawal selia KDN dan diterajui oleh PDRM. NSRC diperkukuhkan fungsinya sebagai ‘One Stop Centre’ yang beroperasi 24 jam dan memberikan perkhidmatan end-to-end bagi menangani jenayah penipuan dalam talian,” katanya lagi. – UMNO Online
