Tenggara Harap Dilibatkan Dalam SEZ Johor-Singapura
KUALA LUMPUR, 16 Okt – Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib, berharap kawasan selatan wilayahnya turut dilibatkan dalam pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (SSEZ) seperti diumumkan dalam Belanjawan 2026.
Menurut beliau walaupun nama Tenggara tidak disebut secara langsung dalam pengumuman pembangunan infrastruktur dan projek berkaitan SSEZ, kawasan itu tetap menerima manfaat daripada jaringan jalan baharu yang diumumkan kerajaan.
“Kedua-dua (projek) ini berkaitan dengan pembangunan negeri. Tenggara ucap terima kasih kerana pengumuman pembinaan Jalan Kluang–Renggam–Layang-Layang dan Jalan Kota Tinggi–Kluang walaupun tidak disebut secara langsung, namun jalan itu digunakan oleh rakyat Tenggara. Jadi Tenggara ucapkan terima kasih,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat semalam.
Beliau seterusnya turut berharap pelaksanaan SSEZ dapat diperluas sehingga ke bahagian selatan Parlimen Tenggara yang bersempadan dengan Kulai agar kawasan itu turut menerima limpahan ekonomi.
“Tenggara amat berharap wilayah selatan ini dapat dilibatkan dalam pelaksanaan SSEZ kerana kawasan dari Johor Bahru hanya sampai ke hujung Kulai. Kulai ini sempadannya adalah Parlimen Tenggara yang besar, dengan lebih 80,000 penghuni. Kalau boleh, biarlah wilayah selatan Tenggara ini ‘dijilat’ oleh SEZ supaya kami juga mendapat limpahannya,” katanya.
Katanya lagi kawasan Tenggara mempunyai potensi besar untuk dijadikan sebahagian daripada wilayah pembangunan berkenaan kerana ia menempatkan Kolej Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) yang boleh memberi manfaat kepada pembangunan bakat TVET serta Bandar Tenggara Industrial Estate yang berdaya saing.
“Kalau dimasukkan sedikit dalam SEZ, insya-Allah ia boleh memberi manfaat kepada negara dan juga negeri,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar sebuah sekolah berasrama penuh TVET pertama diwujudkan di daerah Kulai memandangkan daerah itu merupakan satu-satunya daerah di Johor yang belum mempunyai sekolah berasrama penuh.
“Saya harap dalam belanjawan ini atau perancangan akan datang, Kementerian Pendidikan Malaysia boleh pertimbangkan penubuhan sekolah berasrama penuh TVET pertama di kawasan Tenggara.
“Kebetulan ada kawasan luas milik YPJ dan KEJORA yang boleh dijadikan tapak pembangunan melalui kolaborasi dan sinergi,” katanya.
Manndzri menambah, Johor mempunyai 10 daerah, namun Kulai sahaja yang belum memiliki sekolah berasrama penuh dan cadangan itu diyakini mampu meningkatkan peluang pendidikan berasaskan kemahiran di kawasan selatan negeri itu. – UMNO Online
