Peruntukan RM7.9 Bilion Bukti Komitmen Kerajaan Perkasa TVET – Manndzri Nasib
KUALA LUMPUR, 16 Okt – Peruntukan sebanyak RM7.9 bilion dalam Belanjawan 2026 bagi memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal (TVET) bukan sekadar angka di atas kertas, sebaliknya mencerminkan kesungguhan kerajaan menjadikan TVET sebagai pemacu ekonomi baharu negara serta jambatan peluang sosial kepada golongan muda.
Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib, berkata langkah itu menunjukkan iltizam kerajaan untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri masa depan.
“Namun kita juga perlu bersikap realistik dan berhati-hati. Pengalaman lalu menunjukkan sebahagian besar peruntukan TVET sering tersekat akibat birokrasi dan pengurusan dana yang tidak cekap, sehingga mengganggu proses pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat semalam.
Beliau seterusnya menyeru agar RM650 juta yang diperuntukkan kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) digunakan sepenuhnya bagi penyediaan latihan kemahiran dan tidak diserap untuk program promosi atau geran jangka pendek.
Beliau turut menyambut baik peruntukan RM3 bilion melalui HRDCorp dan RM45 juta melalui Majlis TVET Negara, yang disifatkan sebagai langkah progresif ke arah pembangunan TVET moden berteraskan teknologi tinggi, digital, kecerdasan buatan (AI) dan tenaga boleh diperbaharui.
“Usaha memperkenalkan AI kepada pelajar tahfiz, menaik taraf ADTEC Shah Alam serta pembinaan kolej baharu di Sabah membuktikan TVET kini bergerak ke arah sistem yang inklusif dan berimpak nasional.
“Kita harus skeptikal terhadap ketirisan tetapi perlu progresif dalam pelaksanaan. TVET bukan medan percubaan, tetapi pelaburan strategik masa depan negara,” katanya.
Beliau menambah, Belanjawan 2026 perlu membuktikan bahawa setiap sen yang dibelanjakan mampu menghasilkan satu belia berkemahiran, satu keluarga keluar daripada kemiskinan dan satu bangsa menuju keunggulan Malaysia Madani. – UMNO Online
