JKM Memudah Cara Pendaftaran TASKA, Tubuh OSC – Noraini

KUALA LUMPUR, 16 Okt – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM) telah memudah cara pendaftaran Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) dengan menubuhkan jawatankuasa Agensi Pusat Setempat (OSC).

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, sebanyak 1,080 premis TASKA didapati tidak berdaftar di seluruh negara.

“KPWKM melalui JKM adalah bertanggungjawab untuk pendaftaran, pengawalan dan pemeriksaan TASKA sebagaimana peruntukan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 [Akta 308] dan Peraturan-Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak 2012.

“KPWKM melalui JKM telah melaksanakan Task Force Penguatkuasaan TASKA Tidak Berdaftar. Setakat hari ini, berdasarkan operasi penguatkuasaan yg telah dijalankan didapati sebanyak 1,080 premis TASKA tidak berdaftar iaitu satu (1) di Perlis, 60 di Kedah, 66 di Pulau Pinang, 10 di Perak, 407 di Selangor, 114 di Kuala Lumpur, 42 di Negeri Sembilan, 33 di Melaka, 82 di Johor, 71 di Pahang, 48 di Kelantan, 30 di Terengganu, 95 di Sarawak, 19 di Sabah dan 2 di Labuan.

“Sehingga 22 Ogos 2025, sebanyak 902 telah selesai diambil tindakan penguatkuasaan termasuk 294 buah telah berjaya didaftarkan dan baki 178 dalam tindakan penguatkuasaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Parlimen, sebentar tadi.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia berkata, KPWKM melalui JKM telah melaksanakan beberapa tindakan utnuk membantu sesebuah TASKA itu didaftarkan secara sah.

“Bagi membantu TASKA berkenaan didaftarkan secara sah, KPKWM melalui JKM sentiasa melaksanakan tindakan seperti memberi bantuan nasihat dan konsultasi secara terus kepada pengusaha TASKA tentang prosedur pendaftaran sebagaimana ditetapkan Akta dan Peraturan.

“Selain itu, di laman web rasmi JKM (www.jkm.gov.my) juga disediakan maklumat lengkap berkaitan proses permohonan pendaftaran TASKA sebagai panduan dan rujukan mana-mana pihak yang berminat untuk mengoperasikan TASKA.

“Memudah cara pendaftaran dengan penubuhan Jawatankuasa Agensi Pusat Setempat atau dengan izin One-Stop Centre (OSC) yang dipengerusikan oleh Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri / Wilayah Persekutuan yang diadakan sekurang-kurangnya dua kali setahun. Tujuan jawatankuasa ini ditubuhkan adalah untuk mengenalpasti isu dan masalah dalam pendaftaran TASKA dan Pusat Jagaan,” katanya lagi.

Jelasnya, program advokasi turut dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran pelbagai pihak berkaitan TASKA.

“Keanggotaan jawatankuasa ini terdiri pelbagai agensi berkaitan termasuk tiga agensi teknikal yang utama iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Akhir sekali, melaksanakan program advokasi untuk meningkatkan kesedaran pelbagai pihak berkaitan TASKA. Antaranya seperti Program Advokasi Pendaftaran TASKA, Kempen Jom Daftar TASKA dan membuka kaunter pameran dalam program-program di peringkat komuniti,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO