Belanjawan 2026 Terjemahan Disiplin Fiskal, Seiring Semangat Ekonomi Madani

KUALA LUMPUR, 14 Pkt – Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah berpandangan Belanjawan 2026 merupakan kesinambungan kepada agenda reformasi fiskal yang bermula sejak 2023.

Beliau yang juga Pengerusi Backbenchers berkata ini kerana ia digubal dengan mengambil kira realiti baharu dunia seperti polikrisis yang mencantumkan ketegangan geopolitik, keselamatan iklim, dan tekanan ekonomi yang saling bertindih

“Belanjawan 2026 ini adalah terjemahan disiplin fiskal dan keberanian moral, seiring semangat Ekonomi MADANI yang menuntut pertumbuhan disertai keadilan dan ihsan.

“Alhamdulillah, asas ekonomi negara kekal kukuh. Pada separuh pertama 2025, Keluaran dalam negara kasar (KDNK) berkembang 4.4 peratus, didorong oleh perbelanjaan isi rumah, pelaburan swasta dan awam yang meningkat kukuh, serta kadar pengangguran menurun ke paras 3 peratus.

“Jumlah pelaburan diluluskan mencecah RM190 bilion, meningkat hampir 19 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya ketika perbahasan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, semalam.

Mengulas lanjut kata Mohd Shahar ini membuktikan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi Malaysia serta kestabilan dasar kerajaan dalam mengemudi cabaran global.

“Ringgit yang terus mengukuh, inflasi yang kekal terkawal, dan momentum pertumbuhan yang berterusan menjadi petanda jelas bahawa asas ekonomi kita berada pada landasan kukuh,” ujar beliau.

Sementara itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas komitmen berterusan untuk melindungi rakyat berpendapatan rendah dan sederhana melalui peningkatan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Namun Mohd Shahar turut mencadangkan agar penyaluran STR disemak semula daripada setiap tiga bulan kepada setiap bulan atau setiap dua minggu, seperti yang dilaksanakan di India.

“Langkah ini pastinya dapat membantu rakyat mengurus perbelanjaan dengan lebih baik dan mengelakkan lonjakan perbelanjaan berkala.

“Bantuan tunai bukan penyelesaian kekal. Kerajaan perlu melangkah ke tahap seterusnya melalui kenaikan gaji minimum yang progresif, latihan semula tenaga kerja, dan pemerkasaan ekonomi komuniti agar rakyat mampu membina daya saing sendiri.

“Saya berpendapat bahawa peningkatan bahagian Pendapatan Pekerja (Compensation of Employees – COE) perlu dijadikan teras utama dalam memperkukuh asas ekonomi negara.

“Apabila lebih banyak bahagian KDNK diagihkan kepada gaji dan pampasan pekerja, ia secara langsung meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah, merangsang perbelanjaan domestik, dan memperkukuh daya tahan ekonomi,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO