Penyusunan Semula Rondaan Di Kawasan ‘Hotspot’ Jenayah Maritim – Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melaksanakan penyusunan semula strategi rondaan dengan memberi tumpuan kepada kawasan yang dikenal pasti sebagai hotspot jenayah maritim.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata ia khususnya di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE), kawasan sempadan negara serta laluan perdagangan utama yang berisiko tinggi.

“APMM akan menerima pelbagai aset baharu bagi memperkukuh kawalan keselamatan maritim negara. Antaranya Offshore Patrol Vessel (OPV) yang akan dinamakan KM BENDAHARA, dua buah Offshore Patrol Vessel (OPV), empat buah Helikopter Medium Lift AW189, dua buah Multi Purpose Mission Ship (MPMS), empat buah Bot Pemintas PTK, 23 buah Rigid Hull Fender Boat (RHFB), dua buah New Generation Patrol Vessel (NGPV) serta dua buah New Generation Patrol Craft (NGPC).

“Gabungan aset permukaan dan udara ini akan meningkatkan keupayaan rondaan jarak jauh, operasi pantas di pesisir pantai serta pemantauan udara yang lebih meluas, sekali gus membolehkan APMM melaksanakan operasi penguatkuasaan secara lebih menyeluruh dan efektif.

“Melalui penugasan aset baharu seperti kapal peronda generasi baharu, bot pemintas berkelajuan tinggi serta helikopter pengawasan, rondaan dapat dilaksanakan dengan lebih meluas, pantas dan responsif.

“Keupayaan ini bukan sahaja meningkatkan tahap kawalan keselamatan di kawasan kritikal, malah memastikan tindak balas segera dapat dilakukan terhadap sebarang insiden pencerobohan, penyeludupan atau aktiviti jenayah maritim lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) berkenaan langkah konkrit yang akan diambil bagi memastikan aset baharu APMM untuk membanteras jenayah maritim di perairan negara dalam tempoh 12 bulan akan datang, di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Shamsul turut memaklumkan APMM juga menekankan pelaksanaan pengurusan aset bersepadu bagi menjamin aset baharu dapat digunakan secara optimum.

Menurut beliau langkah ini merangkumi penyelenggaraan berjadual yang sistematik, penempatan aset berdasarkan keutamaan operasi di lapangan serta integrasi dengan sistem berteknologi tinggi.

“Antara teknologi utama yang dimanfaatkan termasuk Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) bagi pemantauan radar bersepadu, Sistem Identifikasi Automatik (AIS) untuk pengesanan dan penjejakan kapal, serta keupayaan pemantauan udara yang menyokong operasi aset permukaan.

“Gabungan pengurusan aset fizikal dengan teknologi pintar ini membolehkan rondaan dilaksanakan secara lebih efisien, liputan kawasan lebih menyeluruh dan setiap aset dapat digerakkan dengan kadar keberkesanan maksimum,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO