Pemasangan Lampu Solar Tumpu Kawasan Berisiko Kemalangan
KUALA LUMPUR, 13 Okt – Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan kementerian melaksanakan Program Menaiktaraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya yang menfokuskan pemasangan lampu jalan di kawasan berlaku kemalangan atau berisiko kemalangan akibat jalan gelap.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi itu itu berkata ia menfokuskan kawasan seperti persimpangan, selekoh dan jambatan serta kawasan yang mempunyai rekod kemalangan, pemasangan lampu jalan akan dibuat secara setempat, berskala kecil dan memenuhi keperluan pencahayaan.
“Lampu jalan solar merupakan inisiatif hijau selaras dengan pembangunan lestari yang lebih mesra alam kerana penjanaan tenaga elektrik dari sumber yang boleh diperbaharui. Lampu jalan solar telah mula dipasang oleh Jabatan Kerja Raya pada tahun 2019 melalui pelaksanaan projek rintis.
“Sehingga tahun 2025, sebanyak 9,759 bilangan lampu jalan solar telah dipasang di Jalan Persekutuan di Semenanjung Malaysia dengan tumpuan kawasan yang memenuhi kriteria kawasan yang jauh dari sistem grid elektrik, kawasan yang sering berlaku kecurian kabel dan vandalisme serta kawasan yang kerap berlaku kemalangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Manndzri Nasib (BN-Tenggara) berkenaan perancangan kementerian untuk memperluaskan penggunaan lampu solar khususnya kawasan luar bandar, di Dewan Rakyat hari ini.
Ahmad dalam pada itu berkata pemasangan lampu jalan solar terutamanya di kawasan lokasi kemalangan sentiasa dilaksanakan agar aspek keselamatan jalan raya sentiasa dapat dipertingkatkan.
“Kementerian ini sentiasa menyokong inisiatif pemasangan lampu jalan solar ini. Teknologi lampu jalan solar yang berada di pasaran sedang menuju ke arah kematangan produk yang didorong oleh penglibatan pemain industri dan agensi kerajaan dengan mengambil kira keperluan rekabentuk, teknikal dan penyelenggaraan.
“Dalam hal ini, Kementerian pada setiap tahun berusaha mendapatkan peruntukan untuk pelaksanaan pemasangan lampu jalan di lokasi-lokasi Jalan Persekutuan yang memenuhi kriteria. Kelulusan peruntukan daripada Agensi Pusat akan digunakan mengikut keutamaan tertakluk kepada amaun yang disediakan,” ujar beliau. – UMNO Online
