Tabika Autisme Setiap Daerah Berikan Pendidikan Awal Berdekatan Dengan Rumah
KUALA LUMPUR, 11 Sept – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis, Datuk Rozabil Abd Rahman menyambut baik pengumuman Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkenaan pelaksanaan tabika autisme di setiap daerah menjelang tahun 2027.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau berkata langkah ini sebagai usaha membuka peluang untuk melahirkan lebih banyak genius-genius tempatan dengan memberikan pendidikan awal berdekatan dengan rumah tanpa perlu mengeluarkan kos yang banyak.
“Terbaca berita tentang YAB Timbalan Perdana Menteri kita, Datuk Seri Ahmad Zahid mengumumkan hasrat untuk mewujudkan ‘Satu Daerah, Satu Tabika Khas Autisme’ menjelang tahun 2027, yang bakal dilaksanakan melalui KEMAS. Saya sokong penuh. Ini bukan sekadar baik, ini luar biasa
“Sudah tentu pihak pengurusan KEMAS akan berdepan dengan pelbagai cabaran dalam membentuk serta menguruskan operasi tabika khas autisme ini. Namun, saya yakin dengan pengalaman dan dedikasi kerja keras warga KEMAS, inisiatif ini mampu direalisasikan dengan berkesan.
“Anak-anak ini bukan kurang upaya, mereka hanyalah differently-abled. Mereka perlukan kaedah didik yang khusus untuk menyerlahkan kehebatan tersembunyi mereka,” katanya menersi satu hantaran di Facebook.
Rozabil berkata di Malaysia, kes anak-anak yang didiagnos menghidap autism telah meningkat dengan begitu drastik iaitu daripada 6,991 kes pada tahun 2013 sehingga ke 64,000 kes pada tahun 2024.
Menyifatkan ia sebagai usaha luar biasa beliau berkata ini kerana selama ini, ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa (OKU) terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman, sering berhadapan masalah untuk mencari pusat pendidikan yang sesuai.
“Lihatlah di negara luar. Banyak negara maju dah lama ada pusat intervensi awal seumpama ini. Mereka invest besar-besaran untuk anak-anak istimewa sebab mereka nampak potensinya. Idea dan usaha ini perlu dilihat secara serius sebagai langkah pelaburan dan sama sekali bukan pertolongan kebajikan semata-mata.
“Anak-anak autisme, jika diberi pendidikan, bimbingan dan sokongan yang betul dari kecil, bukan saja boleh dibendung malah mereka boleh berdikari dan boleh jadi lebih hebat dari kita!
“Di Perlis, sebuah institusi telah ditubuhkan oleh Majlis Agama Islam Perlis (MAIPS), UNIMAP dan JKM yang dikenali sebagai A-Heart (Autism Hub for Educational Resources & Training) untuk melatih anak anak autisme.
“Ada juga NGO tempatan dan kelab sokongan komuniti yang turut ditubuhkan. Tetapi setakat tahun 2024 sahaja, terdapat 488 kes telah dilaporkan. Sudah pasti mereka tidak mampu melatih dan membimbing kesemuanya pada satu-satu masa,” ujar beliau.
Terdahulu Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyasarkan untuk membangunkan sebuah tabika khas bagi kanak-kanak autisme di setiap daerah menjelang tahun 2027.
Beliau berkata sasaran awal adalah untuk mewujudkan sekurang-kurangnya satu tabika autisme di setiap negeri sebelum diperluaskan ke peringkat daerah. – UMNO Online
