Enakmen Kawalan Sekolah Agama Islam, Bukti Komitmen UMNO Perak Martabat Syiar Islam
KUALA LUMPUR, 11 Sept – Kerajaan Negeri Perak meluluskan Enakmen Kawalan Sekolah Agama Islam sebagai langkah memperkemas pengurusan institusi pendidikan Islam di negeri itu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad merakamkan penghargaan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk wakil pembangkang, atas sokongan mereka terhadap Enakmen baharu yang akan menggantikan Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1996.
“Walaupun terdapat perbezaan pandangan berhubung butiran teknikal dan pelaksanaan, namun asasnya semua pembahas berkongsi hasrat yang sama.
“Iaitu memelihara martabat pendidikan Islam dan memperkukuh peranan sekolah agama sebagai medan membentuk generasi berilmu dan berakhlak mulia,” katanya.
Sementara itu menerusi satu kenyataan di Facebook UMNO Perak, mereka menyifatkan langkah ini sebagai komitmen Saarani yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu dalam mengangkat peranan sekolah agama sebagai pusat penyebaran ilmu dan pembentukan sahsiah.
“Kerajaan Negeri Perak meluluskan Enakmen Kawalan Sekolah Agama Islam bagi memastikan pentadbiran lebih teratur, kurikulum seragam dan bebas daripada unsur ekstremisme.
“Langkah ini melindungi generasi muda, memelihara akidah serta memperkukuh peranan sekolah agama sebagai pusat ilmu dan pembinaan sahsiah. UMNO Perak konsisten menjaga syiar Islam,” ujar beliau.
Terdahulu, pada Rabu undang-undang itu diluluskan sebulat suara tanpa sebarang pindaan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diadakan setelah dibahaskan oleh 15 Ahli DUN kerajaan dan pembangkang. – UMNO Online
