Suhaimi Seru Rakyat Sabah Nilai Rekod, Sumbangan BN
KUALA LUMPUR, 9 Sept – Ketua UMNO Bahagian Libaran, Datuk Suhaimi Nasir berharap rakyat Sabah membuat pilihan rasional dengan menyokong parti yang telah terbukti membawa pembangunan dan kemajuan kepada negeri itu.
Menurut beliau, walaupun Barisan Nasional (BN) Sabah bukanlah sebuah gabungan yang sempurna, namun rekod khidmat dan pencapaiannya kepada rakyat tidak boleh dinafikan.
“Rakyat Sabah, dengarlah… BN Sabah tidak sempurna tetapi pembangunan dan khidmatnya kepada rakyat tidak boleh dinafikan.
“Kita membina sekolah di desa, hospital di pekan, jalan raya yang menghubungkan kampung ke bandar, peluang pendidikan yang membuka masa depan anak-anak kita.
“Semua itu nyata, semua itu hasil tangan BN,” katanya menerusi satu kenyataan.
Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran berkata keputusan BN menolak kerjasama dengan GRS adalah pahit namun perlu diputuskan kerana ketidakadilan dalam rundingan yang dilakukan.
Katanya lagi, lapan kerusi yang ditawarkan juga berat sebelah berbanding 14 kerusi dimenangi BN pada PRN terdahulu.
“Keputusan BN menolak kerjasama dengan GRS adalah keputusan yang pahit tetapi perlu. Pahit, kerana BN pernah bersama membina kerajaan negeri. Tetapi perlu, kerana rundingan yang ditawarkan bukan sahaja tidak adil, malah menghina maruah.
“Daripada 14 kerusi yang rakyat berikan kepada BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, hanya lapan ditawarkan kembali. Lebih memilukan, ada pemimpin GRS yang berkata jumlah itu pun sudah terlalu banyak untuk BN. Apakah itu namanya rundingan? Tidak! Itu penghinaan. Itu tikaman yang menusuk ke jantung pejuang BN.
“BN Sabah memilih jalan yang berat tetapi bermaruah. Lebih baik kita kehilangan kuasa seketika, daripada hidup bersama pengkhianat yang hanya tahu menikam kita berulang kali.
“Rakyat Sabah, percayalah… BN tidak pernah dan tidak akan berhenti berjuang untuk kalian. Walau dihina, walau disabotaj, walau ditikam, BN tetap bersama rakyat. Kerana inilah rumah kita, inilah tanah air kita,” ujar beliau.
Mengulas lanjut, Suhaimi turut menyifatkan GRS sebagai bukan sekutu sebaliknya liabiliti.
Menurut beliau lagi sejarah juga membuktikan bahawa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat, Pantai Dalit, Sugut, Sindumin dan Tempasuk dirampas melalui politik lompat yang menjadi noda hitam dalam sejarah demokrasi Sabah.
“GRS bukan sekutu, tetapi liabiliti. GRS hari ini bergelumang dengan skandal tanah, konsesi hutan, jet mewah, lesen gelap.
“Mereka menafikan, mereka menutup mulut, tetapi rakyat tahu. Sebuah kerajaan yang lahir daripada pengkhianatan hanya menunggu masa untuk rebah.
“GRS ini bukan parti yang lahir dari mandat rakyat. Ia hanya wujud selepas perubahan di peringkat Persekutuan. Hakikatnya, GRS tidak pernah sekalipun bertanding pilihan raya atas nama sendiri, tetapi hidup bergantung pada katak politik yang melompat demi kuasa,” bidas beliau. – UMNO Online
