Program Ekonomi Madani Bantu Warga BAKAT Jana Pendapatan
KUALA LUMPUR, 9 Sept – Program Ekonomi Madani di kem-kem seluruh negara membantu negara dalam soal keterjaminan makanan selain menjana pendapatan warga tentera.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan beliau telah membuat lawatan ke Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat (MK PMBTD) untuk meninjau pelaksanaan Program Ekonomi Madani.

“Dalam lawatan ke MK PMBTD, saya telah mengadakan tinjauan pelaksanaan Program Ekonomi Madani di dalam kem.
“Program ini dilaksanakan untuk memberi peluang kepada anggota kita, khususnya keluarga mereka supaya terlibat dalam Program Ekonomi Madani yang dirangka kerajaan di seluruh negara.
“Menggunakan ruang yang tersedia di kem, keluarga anggota melalui Badan Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT) dapat mengusahakan projek keusahawanan yang dipilih sendiri seperti madu kelulut, cendawan, sayuran dan herba,” katanya.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, program tersebut turut melibatkan kerjasama dengan pelbagai pihak untuk membolehkan pemindahan ilmu dijayakan.
“Kerjasama dengan Jabatan dan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) seperti Universiti Putra Malaysia (UPM) membolehkan pemindahan ilmu dijayakan, di samping kerjasama dengan Boustead Plantations memastikan pembelian, usaha penjenamaan serta pemasaran produk.
“Sedikit sebanyak, Program Ekonomi Madani di kem-kem tentera seluruh negara ini membantu negara dalam soal keterjaminan makanan, selain menjana pendapatan untuk warga tentera kita,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyaksikan Demonstrasi Hospital Hadapan semasa lawatan kerja ke MK PMBTD dan diperkenalkan dengan aset terbaharu iaitu Forward Anaesthesia and Surgical Team (FAST).

“Menyaksikan Demonstrasi Hospital Hadapan semasa lawatan kerja ke MK PMBTD. Demonstrasi ini mempamerkan pengoperasian penuh fasiliti perubatan medan seperti Triage, Rawatan Resusitasi, Bilik Pembedahan (OT) dan Wad Rawatan Pesakit.
“Saya turut diperkenalkan aset terbaharu iaitu FAST, pasukan mobil yang berkemampuan memberikan rawatan pembedahan dan bius segera di kawasan operasi.
“FAST kini merupakan tonggak baharu dalam misi-misi yang dijalankan, termasuklah operasi kemanusiaan terkini di Myanmar,” katanya lagi. – UMNO Online
