300 Pelajar STPM Tanah Merah Dirai, Diperkenal Kad Pintar – Wan Rakemi
TANAH MERAH, 9 Sept – Seramai 300 orang pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) daripada sekolah-sekolah di sekitar Parlimen Tanah Merah telah diraikan dalam Program Bicara Kerjaya dan Majlis Sumbangan Kecemerlangan STPM 2024 yang berlangsung di sini baru-baru ini.
Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Datuk Wan Rakemi Wan Zahari berkata, program tersebut bukan sahaja diadakan bagi menghargai kecemerlangan pelajar, tetapi turut memperkenalkan inisiatif baharu iaitu ‘kad pintar’.
Katanya, ia sebagai menghargai usaha gigih pelajar dalam pencapaian STPM 2024 selain turut membuka ruang bagi mendapatkan pendedahan awal mengenai kerjaya selepas tamat pengajian.
“Program ini bertujuan meraikan kecemerlangan pelajar STPM di Tanah Merah, di samping memperkenalkan inisiatif baharu iaitu kad pintar. Selain itu, kad pintar juga diperluaskan kepada ahli ‘pintar’ yang kini telah mencecah seramai 2,000 orang.
“Kad ini bukan sahaja memberi pelbagai kelebihan melalui syarikat-syarikat rakan kolaborasi seperti kedai buku banggol, klinik primer, syarikat insurans, serta bas ekspres, malah turut menekankan usaha menjaga kebajikan pelajar,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, kata Wan Rakemi lagi, pelajar dan ahli pintar bukan sahaja diberi pengiktirafan malah turut menerima manfaat dalam pelbagai aspek kehidupan.
“Melalui inisiatif ini, pelajar dan ahli pintar bukan sahaja diberi pengiktirafan atas kejayaan akademik, tetapi juga dibekalkan sokongan dalam aspek pendidikan, kesihatan, pengangkutan, serta perlindungan diri.
“Langkah ini diyakini dapat membantu mereka membuat persediaan lebih baik untuk melangkah ke alam pengajian tinggi dan dunia kerjaya,” katanya lagi.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Mohd Sobri Mat Daud; Pengerusi Kelab Geng Sekolah, Datuk Kapten Fauzi Aziz; Pengarah Urusan Bas Ekspres Perdana Laili Ismail; Penceramah Ustaz (PU), Mohamad Rozie Rejab serta pelajar-pelajar dan penduduk Parlimen Tanah Merah.
Untuk rekod, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir telah merasmikan kad pintar dengan ciri pelbagai guna dan manfaat khusus untuk semua mahasiswa di Universiti Awam (UA).
Kad tersebut merangkumkan pelbagai fungsi semua dalam satu iaitu kad matrik pelajar, kad debit, kad diskaun, kad akses kemudahan universiti serta e-dompet. – UMNO Online
