Persidangan UMNO Medan Perkukuh Solidariti Parti Hadapi PRN Sabah – Awang Aslee
BEAUFORT, 10 Jun – Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat menyeru seluruh ahli dan perwakilan parti agar memanfaatkan Persidangan UMNO Bahagian sebagai satu medan penting untuk memperkukuh solidariti serta memperkemas strategi parti dalam usaha memperjuangkan nasib rakyat, khususnya di Sabah.
Ujarnya, persidangan tahunan parti yang bermula pada 9 Jun hingga 27 Julai ini bukan sekadar acara ulangan saban tahun, sebaliknya menjadi platform strategik dalam menyusun kekuatan dan membina kesiapsiagaan parti, lebih-lebih lagi ketika negeri Sabah dijangka berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam masa terdekat.
“Persidangan ini adalah peluang terbaik untuk kita melakukan penilaian terhadap kekuatan jentera, mencambah idea, dan menyusun langkah secara terancang serta bersepadu menjelang PRN Sabah,” tegasnya kepada UMNO Online.
Beliau turut mengingatkan bahawa cabaran politik semasa menuntut semua ahli agar terus bersatu hati, cekal, dan fokus dalam perjuangan parti, khususnya dalam mendekati rakyat dan menyelesaikan permasalahan di peringkat akar umbi.
“Kita mesti terus menjadi parti yang peka, prihatin dan berkhidmat tanpa jemu. Kejayaan dalam PRN nanti hanya akan datang jika kita benar-benar bersedia dari sekarang iaitu bukan hanya dari segi strategi, tetapi juga dari segi hubungan dan kepercayaan rakyat terhadap UMNO.
“Marilah kita bersidang dengan semangat ukhuwah, penuh keikhlasan dan komitmen tinggi untuk melihat UMNO terus berdiri teguh sebagai parti keramat orang Melayu dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau juga memaklumkan UMNO Bahagian Beaufort akan mengadakan Persidangan Tahunan secara serentak bersama ketiga-tiga sayap bahagian Wanita, Pemuda dan Puteri pada 26 Julai depan bertempat di Dewan Persatuan Bisaya Sabah dan bakal dirasmikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Ghani.
Dalam pada itu, beliau meneruskan komitmen yang digerakkan semua sayap dan biro parti di Beaufort dengan melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan termasuk menyantuni keluarga yang meraikan majlis perkahwinan serta menyampaikan bantuan menerusi program Ziarah Kasih.
Awang Aslee turut menekankan bahawa UMNO Beaufort akan terus memperkasakan pendekatan berteraskan khidmat rakyat kerana inilah asas yang akan mengukuhkan sokongan masyarakat kepada parti setiap masa malah bukan hanya menjelang pilihan raya.
“Kita perlu bina kekuatan bukan hanya dari aspek organisasi dan logistik, tetapi juga dari segi hati dan jiwa rakyat. UMNO mesti dilihat sebagai parti yang bukan sahaja membela, tetapi benar-benar bersama rakyat dalam susah dan senang,” tambah beliau.
Jelasnya, sebagai usaha berterusan mendekati rakyat, Biro Kebajikan UMNO Bahagian Beaufort terus aktif termasuk menyantuni dua keluarga di kawasan Kuala Penyu baru-baru ini sempena persiapan majlis perkahwinan anak mereka iaitu melibatkan Keluarga Mohd Mazrin Mohd Salleh di Kampung Seliko dan keluarga Rasidah Moin di Kampung Jangkit.
“Inisiatif ini adalah tanda keprihatinan parti terhadap masyarakat, khususnya dalam meraikan detik bersejarah pasangan pengantin dan keluarga mereka.
“UMNO Bahagian Beaufort akan terus komited menyantuni masyarakat, menyelami denyut nadi rakyat dan memberikan khidmat bakti secara berterusan demi kesejahteraan bersama.
“Marilah kita seluruh ahli untuk menyatukan tekad, memperkukuh kerjasama, dan bergerak dalam satu saf perjuangan,” katanya lagi. – UMNO Online