Ibadah Korban Simbol Kesepakatan Rakyat – Ab Rauf

MELAKA, 6 Jun – Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyerahkan lembu korban secara simbolik dalam satu majlis yang berlangsung di kediaman rasmi beliau di Seri Bendahara, petang semalam.

Majlis penyerahan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif tahunan Kerajaan Negeri Melaka dalam usaha mengimarahkan sambutan Aidiladha serta menzahirkan keprihatinan terhadap kebajikan rakyat.

Ujarnya, sebanyak 76 ekor lembu korban akan diagihkan secara berperingkat dalam tiga fasa sepanjang tiga hari sambutan Aidiladha kali ini yang akan melibatkan semua wakil rakyat dan penyelaras Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di 28 kawasan DUN Melaka, selain jabatan dan agensi kerajaan, pengurusan masjid, surau, universiti serta badan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negeri.

Menurut Ab Rauf, Fasa Pertama telah menyaksikan agihan 25 ekor lembu ke kawasan-kawasan terpilih termasuk DUN Bukit Baru, DUN Kesidang, DUN Kota Laksamana serta Masjid An-Nur, Bandar Hilir dengan penyerahan disempurnakan oleh Setiausaha Khas Hal Ehwal Masyarakat, Datuk Muhammad Ahyad Abdullah, bersama kakitangan Pejabat Ketua Menteri.

Jelasnya, Fasa Kedua akan berlangsung hari ini dengan 41 ekor lembu diagihkan ke pelbagai kawasan DUN lain, manakala Fasa Ketiga dijadualkan pada hari Isnin, membabitkan 10 ekor lembu yang akan diserahkan kepada pelbagai agensi kerajaan negeri Melaka.

Agihan lembu korban ini dikendalikan oleh 12 pembekal yang telah dilantik oleh Pejabat Ketua Menteri Melaka, bagi memastikan kelancaran dan ketelusan proses pengedaran kepada pihak-pihak terlibat.

“Saya berharap ibadah korban ini bukan sekadar amalan tahunan, tetapi menjadi simbol pengorbanan, perpaduan dan semangat kesepakatan masyarakat Melaka yang kita cintai,” ujar Ab Rauf.

Beliau turut menekankan bahawa Aidiladha bukan sekadar perayaan, sebaliknya satu penghayatan terhadap nilai keikhlasan, pengorbanan dan kebersamaan dalam membina masyarakat yang bersatu padu.

Dalam hantaran lain di laman Facebooknya, beliau turut menitipkan doa agar segala urusan masyarakat bagi meraikan Aidiladha dipermudahkan dan pengorbanan mereka diterima oleh Allah SWT.

“Selamat menyambut Aidiladha buat seluruh warga Melaka yang saya kasihi,” ujar beliau lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79