Fan Bingbing Terima Sijil MBOR, Melaka Terus ‘Mendunia’ Dalam Pelancongan Global

MELAKA, 3 Jun – Selebriti antarabangsa dari China, Fan Bingbing, hari ini menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi “Capaian Digital Terbesar bagi Pelancongan Malaysia di Platform WeChat Menggunakan Duta Selebriti” dalam satu majlis penghargaan yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Fan Bingbing, yang dilantik sebagai “Duta Setiakawan” Pelancongan sempena Tahun Melawat Melaka 2024, telah mencetuskan impak luar biasa terhadap industri pelancongan negeri ini.

Menurut Ab Rauf, ketibaan pelancong dari China melonjak daripada 204,818 orang pada Disember 2023 kepada 664,687 orang pada Disember 2024, hasil promosi aktif melalui platform digital seperti WeChat.

“Tidak hairanlah impak ‘jenama’ Fan Bingbing ini telah meletakkan nama Melaka di persada antarabangsa,” ujar beliau.

Katanya, kejayaan ini turut membawa kepada pemilihan Melaka sebagai tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 yang bakal berlangsung dari 27 hingga 29 September 2025, malah lebih membanggakan, Melaka juga akan menjadi lokasi pelancaran rasmi Tahun Melawat Malaysia 2026, yang akan diadakan sempena sambutan WTD.

Ab Rauf turut menyatakan keyakinan bahawa Melaka bersedia menerima lebih ramai pelancong pada tahun ini, selepas mencatat kehadiran lebih 15 juta pelawat pada tahun 2024. Kemasukan kapal persiaran antarabangsa seperti ‘Genting Dream Cruise’ dan ‘Star Voyager’, serta penerbangan terus oleh Scoot dari Singapura ke Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), dijangka terus merancakkan industri pelancongan negeri.

Beliau juga mengumumkan bahawa Melaka akan melancarkan Tahun Melawat Melaka 2.0 pada hujung tahun ini sebagai kesinambungan promosi pelancongan negeri ke peringkat global.

“Ini masanya kita membawa dunia ke negeri Melaka! Dengan penglibatan semua pihak iaitu penggiat pelancongan, jabatan kerajaan, dan sekretariat World Tourism Melaka maka saya yakin Melaka akan terus mendunia,” tegas beliau lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79