PRK Ayer Kuning: Jentera Parti Komponen, PH Tonjol Komitmen Tinggi – Dr Asyraf
TAPAH, 16 April – Jentera parti komponen Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) telah menonjolkan komitmen yang tinggi dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning ini, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau yang juga Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan berkata, ia merupakan satu manifestasi kerjasama semakin erat yang dibentuk dari beberapa siri PRK lepas.
“Secara umumnya, walaupun baru saja bermula, tetapi kita dapat lihat semangat jentera baik daripada BN maupun PH begitu hebat sekali. Kita dapat lihat bagaimana penyelarasan untuk semua 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM) berjalan dengan baik. Komitmen yang diberikan oleh parti-parti komponen PH bagi saya lebih hebat daripada PRK-PRK sebelum ini.
“Saya kira ini adalah sebagai satu manifestasi kerjasama yang makin erat. Pengalaman daripada siri-siri PRK lepas mengajar kita apa kaedah dan pendekatan yang lebih baik dapat kita kemaskini dan tambah baik.
“Kita tidak buat ceramah, sebaliknya pergi ke kampung-kampung, bertemu terus dengan pengundi-pengundi yang dipanggil sebagai program ‘taqarrub’. Saya kira kaedah ini lebih efektif berbanding ceramah mega yang kita lakukan sebelum ini dalam siri-siri Pilihan Raya Negeri (PRN),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus selepas program Taqarrub di PDM Simpang Tiga, di sini, malam tadi yang turut dihadiri oleh calon BN, Dr Ustaz Yusri Bakir.
Ujarnya, parti sedang berhadapan dengan cabaran untuk memastikan pengundi luar kawasan pulang pada hari pengundian memandangkan mereka baru sahaja menghadapi cuti Hari Raya Aidilfitri yang panjang sebelum ini.
“Cabaran utama ialah untuk kita memastikan pengundi-pengundi ini balik. Kita berhadapan dengan realiti cuti panjang Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini. Kita nak pastikan seberapa ramai pengundi boleh keluar pada 26 April.
“Itu yang perkara pertama yang dibincangkan… strategi bagaimana nak menarik mereka pulang dan memastikan kumpulan kumpulan sasaran yang kita bahagikan kepada parti-parti politik ini dapat benar-benar kita capai,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa parti telah menggunakan strategi ‘man-to-man marking’ dalam usaha untuk menarik undi anak muda pada PRK kali ini.
“Anak muda ramai yang bekerja di luar. Siang hari memang sukar. Sebab itulah strategi kita untuk mendekati mereka ini… kita memanfaatkan jentera-jentera Pemuda dan Puteri yang hari ini bergerak dengan cukup baik. Kita ada beberapa PDM yang menempatkan anak muda sebagai ketua PDM sendiri untuk mengumpulkan anak-anak muda.
“Kita buat strategi ‘headcount’ dan ‘man-to-man marking’. Maknanya, seorang (jentera) jaga sepuluh orang. Sebab itu kita tidak banyak anjurkan ceramah-ceramah umum, tetapi yang paling penting, pengundi-pengundi ini kita perlu dekati secara peribadi. Termasuk mereka yang berada di luar daripada kawasan Ayer Kuning ini,” katanya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian untuk PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Dr Ustaz Yusri Bakir yang mewakili BN merupakan bekas pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Ipoh akan berhadapan dengan dua lagi calon daripada Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Ishsam mewakili BN menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).
Daripada 31,897 pemilih berdaftar, seramai 14,527 daripadanya terdiri daripada pengundi berusia antara 18 hingga 39 tahun. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman