Latar Belakang Dr Ustaz Yusri, Beri Kekuatan Pada BN
TAPAH, 15 April – Latar belakang pendidikan tinggi dan cemerlang menjadi kekuatan buat calon Barisan Nasional (BN), Dr Ustaz Mohamad Yusri Bakir untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April ini.
Ketua UMNO Bahagian Sik, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim berkata, ia menjadi kelebihan berikutan kelayakan akademik di samping pengalaman politik menyebabkan calon tersebut lebih dipercayai untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Pilihan calon yang dikemukakan oleh BN adalah pilihan yang terbaik berdasarkan kepada rekod politik kerana dia pun setiausaha bahagian adalah orang yang selalu berada dalam kawasan dan turun ke cawangan-cawangan serta kawasan Tapah ini.
“Yang keduanya daripada segi pendidikan, dia adalah orang yang terbaik mempunyai jazah Doktor Falsafah (PhD) daripada Universiti Penguruan Pendidikan Sultan Idris.
“Dr Ustaz Yusri adalah calon yang berumur pertengahan sesuai untuk kita ketengahkan sebagai personaliti yang terbaik untuk dipilih oleh masyarakat dan juga pengundi di DUN Ayer Kuning ini,” katanya ketika ditemui UMNO Online baru-baru ini.
Beliau dalam pada itu turut percaya khidmat bakti yang dilakukan penyandang, Allahyarham Ishsam Shahruddin terpahat dalam ingatan penduduk Ayer Kuning untuk terus menyokong BN pada PRK ini.
“Saya sangat yakin rakyat dah cukup rasional untuk menilai bahawa inilah parti yang terbaik.
“Allahyarham Ishsam Shahruddin sebagai wakil rakyat Ayen Kuning dan ketua bahagian adalah orang yang baik melaksanakan tugas dengan penuh komited.
“Malah amanah kepada rakyat dan kesinambungan ini akan diteruskan insya-Allah dengan calon yang kita tengahkan,” ujar beliau.
Untuk rekod calon BN, Dr Ustaz Yusri berdepan dengan dua saingan antaranya daripada Abdul Muhaimin Malek (Perikatan Nasional) dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia).
PRK DUN Ayer Kuning ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang. – UMNO Online