PRK: Pilih Calon BN, Pastikan Ayer Kuning Kekal Kerajaan – Ahmad Maslan
TAPAH, 13 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyeru rakyat untuk memilih calon Barisan Nasional (BN) agar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning kekal di bawah pemerintahan Kerajaan.
Jelasnya, UMNO/BN telah mengetengahkan calon yang baik untuk meneruskan kesinambungan perjuangan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, allahyarham Ishsam Shahruddin.
“Siapakah yang perlu kita pilih pada PRK ini? Mudah sahaja. Kalau kita memilih calon nombor satu, iaitu Dr Ustaz Yusri Bakir, kawasan ini jadi kawasan Kerajaan… kerajaan negeri dan juga pusat. Kalau kita pilih calon nombor dua, kawasan ini jadi kawasan pembangkang.
“Mereka adalah pembangkang negeri dan juga pusat. Siapa yang kita harus pilih. Kita mahu jadi kerajaan atau pembangkang? Sudah semestinya kerajaan. Kita telah mengetengahkan calon yang baik.
“Seperti kata-kata pantun zaman dahulu. Jika mencari tempat mandi, pertama teluk kedua pantai. Jika mencari pemimpin negeri, pertama elok kedua pandai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Jamuan Makan Tengahari dan Ramah Mesra Bersama Timbalan Perdana Menteri di PDM Changkat Petai, semalam.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon daripada tiga parti pada 26 April ini.
Ia membabitkan calon BN mewakili Kerajaan Perpaduan, Dr Ustaz Yusri Bakir yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, 54.
Beliau akan berdepan saingan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tapah, Abd Muhaimin Malek, 44, dan Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40.
PRK kali ini menyaksikan tiada calon Bebas bertanding untuk merebut kerusi disandang Allahyarham Ishsam Shahruddin, 58, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.
Dr Ustaz Yusri merupakan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah dan berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral Institut Pendidikan Guru (IPG) Ipoh.
Beliau juga merupakan lulusan Ijazah Doktor Falsafah (Pendidikan Islam) dari UPSI dan turut bergiat aktif sebagai Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Kanak-Kanak Tapah.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Ishsam mewakili BN menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).
Daripada 31,897 pemilih berdaftar, seramai 14,527 daripadanya terdiri daripada pengundi berusia antara 18 hingga 39 tahun. – UMNO Online