PRK Ayer Kuning: Norliza Seru Jentera Wanita Bekerja Sebaik Mungkin

TAPAH, 13 April – Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim menyeru seluruh jentera Wanita untuk bekerja sebaik mungkin pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Jelasnya, gerak kerja Wanita UMNO telah dimulakan setelah mantan ADUN Ayer Kuning, allahyarham Ishsam Shahruddin meninggal dunia pada Februari lalu.

“Sewaktu arwah meninggal, Wanita UMNO telah pun memulakan gerak kerja dengan melihat kembali kawasan-kawasan pusat daerah mengundi (PDM) dalam DUN Ayer Kuning. Pada peringkat awalnya, gerak kerja dijalankan oleh Wanita UMNO Bahagian Tapah dan juga Wanita UMNO Negeri Perak.

“Maknanya, seluruh jentera Wanita UMNO Negeri Perak telah berkampung di Ayer Kuning ini dan telah menjalankan gerak kerja menyantuni pengundi walaupun dalam bulan Ramadan. Gerak kerja itu tidak pernah terhenti dan Insya-Allah dalam masa terdekat ini, semua negeri akan mula menurunkan jentera masing-masing.

“Jadi, saya yakin dengan perpaduan yang kita jalinkan dan dengan jentera-jentera yang akan turun dari seluruh Malaysia… saya yakin kita akan mendapat kemenangan besar untukPRK DUN Ayer Kuning pada kali ini,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar segala usaha yang dilakukan oleh para jentera parti akan membuahkan hasil untuk membolehkan BN terus mentadbir kawasan DUN Ayer Kuning.

“Kepada semua jentera khususnya Wanita UMNO yang disayangi, bekerjalah, walaupun saya faham memang kadangkalanya letih dan penat. Tetapi, ini adalah amanah dan tanggungjawab kita sebagai jentera pilihan raya untuk parti kita.

“Adalah penting untuk kita memenangkan calon BN pada kali ini di DUN Ayer Kuning. Jadi, jangan putus asa, kuatkan dan kuatkan tenaga. Santuni para pengundi di DUN Ayer Kuning ini.

“Semoga dengan segala usaha jitu ini akan membuahkan hasil yang terbaik untuk parti, agama dan bangsa kita. Insya-Allah,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian untuk PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April ini.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding hingga jam 11.59 malam 25 April ini.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Ishsam mewakili BN menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).

Daripada 31,897 pemilih berdaftar, seramai 14,527 daripadanya terdiri daripada pengundi berusia antara 18 hingga 39 tahun. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit