PRK Ayer Kuning: Noor Azleen Seru Rakyat Buat Pilihan Terbaik, Beri Mandat Kepada Calon BN
TAPAH, 13 April – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, Noor Azleen Ambros menyeru seluruh rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning supaya membuat pilihan yang terbaik dengan memberi mandat kepada calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini.
Ujarnya, parti telah membuat keputusan tepat dengan meletakkan calon berlatarbelakangkan akademik dan agama yang semestinya mampu membantu kemenangan BN di DUN Ayer Kuning.
“Saya rasa parti telah membuat satu keputusan yang sangat tepat dan waras dengan memilih Dr Ustaz Yusri sebagai calon PRK di Ayer Kuning kali ini. Kita bersandarkan latar belakang cemerlang beliau bukan sahaja sebagai seorang guru yang lama berkhidmat di dalam kawasan Tapah ini.
“Beliau juga mempunyai latar belakang akademik yang begitu baik di samping trek rekod dan juga hubungan baik dengan seluruh masyarakat di kawasan Tapah. Jadi, kita memang mengalu-alukan dan ucapkan terima kasih kepada kepimpinan pusat dan Negeri Perak kerana telah menonjolkan seorang calon yang memang kita boleh sandarkan latar belakang dan juga ‘credential’ beliau. Jadi, Insya-Allah ia mampu beri satu kita kelebihan untuk menang pada PRK ini,” katanya kepada UMNO Online.
Ujarnya, sebagai bahagian angkat kepada pusat daerah mengundi (PDM) Changkat Petai, sudah semestinya mereka berhasrat untuk memadamkan duka lama dengan membawa naratif yang jelas kepada rakyat di kawasan tersebut.
“Sudah tentulah hasrat untuk kita memadamkan duka lama yang sebelum ini kita tak berjaya dalam pilihan raya lepas bagi memenangkan PDM kali ini. Tapi ianya tak mudah. Kita kena pastikan bahawa jentera di setiap peringkat memastikan bahawa para pengundi menyokong dan mengundi calon BN di PDM ini.
“Kita mesti mengemukakan naratif yang tepat untuk bagaimana akhirnya dengan rakyat memilih calon daripada BN. Mereka perlu sedar bahawa ini adalah soal berkenaan dengan kesejahteraan, kebajikan dan juga apa-apa isu yang berkaitan dengan penduduk serta pengundi di air kuning ini, untuk memastikan akan ianya terbela,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berharap agar para pengundi di kawasan DUN Ayer Kuning membuat keputusan yang tepat dan tidak menjadikan PRK ini sebagai medan untuk bersentimen serta melayan perasaan amarah.
“Kepada rakyat DUN Ayer Kuning, buat keputusan yang tepat, dengan pemikiran waras dan hati yang terbuka. Jangan kita sia-siakan peluang di PRK kali ini dengan menggunakannya sebagai medan untuk kita bersentimen dan juga untuk kita dibelenggu dengan perasaan amarah.
“Sebab ini adalah soal memilih wakil rakyat untuk kita hantar satu isyarat kepada Kerajaan Negeri Perak… supaya Kerajaan Negeri Perak dengan mandat yang akan diberikan oleh penduduk daripada Ayer Kuning. Lebih banyak perkara baik yang mereka boleh lakukan untuk kesejahteraan dan kemajuan serta pembangunan Negeri Perak secara keseluruhan.
“Jadi, kita mohon jasa baik dan juga isyarat jelas daripada penduduk DUN Ayer Kuning untuk beri isyarat kepada Kerajaan Negeri Perak dan juga kerajaan persekutuan supaya akhirnya yang akan mendapat manfaat adalah rakyat secara keseluruhan,” katanya lagi.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon daripada tiga parti pada 26 April ini.
Ia membabitkan calon BN mewakili Kerajaan Perpaduan, Dr Ustaz Yusri Bakir yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, 54.
Beliau akan berdepan saingan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tapah, Abd Muhaimin Malek, 44, dan Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40.
PRK kali ini menyaksikan tiada calon Bebas bertanding untuk merebut kerusi disandang Allahyarham Ishsam Shahruddin, 58, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.
Dr Ustaz Yusri merupakan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah dan berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral Institut Pendidikan Guru (IPG) Ipoh.
Beliau juga merupakan lulusan Ijazah Doktor Falsafah (Pendidikan Islam) dari UPSI dan turut bergiat aktif sebagai Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Kanak-Kanak Tapah.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Ishsam mewakili BN menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).
Daripada 31,897 pemilih berdaftar, seramai 14,527 daripadanya terdiri daripada pengundi berusia antara 18 hingga 39 tahun. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman