Dr Ustaz Yusri Bukan Nama Asing Di Ayer Kuning – Noraini

TAPAH, 13 April – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menyifatkan pemilihan Dr Ustaz Mohamad Yusri Bakir sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning adalah tepat memandangkan beliau mempunyai kelebihan tersendiri sebagai pemimpin.

Katanya pengalaman profesional dan politik ternyata membuatkan Dr Ustaz Yusri ini dikenali oleh penduduk sekitar.

“Orangnya rendah diri yang banyak turun padang berjalan, mendekati rakyat, beliau bukan satu nama yang asing bagi kawasan ini.

“Beliau seorang profesional mempunyai pengalaman politik sebagai setiausaha bahagian sudah semestinya penggerak yang membantu program-program di bahagian juga itu kelebihan yang ada pada calon BN,” katanya.

Noraini yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut sama berkongsi respon positif diterima beliau ketika berkempen memperkenalkan calon.

Namun kata Noraini, Pilihan Raya Kecil (PRK) ini tidak boleh diambil mudah sebaliknya
berkata gerak kerja perlu dilakukan semaksimum mungkin.

“Respon sangat positif antaranya ketika saya ke beberapa rumah mereka katanya bahawa Dr Ustaz Yusri ini cikgu anak mereka, jadinya memang sangat positif.

“Namun kita tak boleh ambil mudah juga dan sebab itulah Wanita UMNO akan bekerja bermati-matian untuk membantu memenangkan calon BN,” ujar beliau.

Untuk rekod calon BN, Dr Ustaz Mohamad Yusri Bakir berdepan dengan dua saingan antaranya daripada Abdul Muhaimin Malek (Perikatan Nasional) dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia).

PRK DUN Ayer Kuning ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit