Mahkota, Nenggiri Jadi Bukti Anak Muda Masih Sokong BN – Dr Akmal

TAPAH, 12 April – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, kemenangan Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dan Nenggiri menjadi bukti bahawa anak muda masih menyokong parti ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, kemenangan itu juga adalah berdasarkan kepada kesetiaan dan kerja keras para jentera dalam meraih undi dari masyarakat setempat.

“PRK DUN Ayer Kuning ini adalah satu lagi perjuangan kita. Perjuangan yang dikatakan hampir mustahil. Dulu mereka mengatakan bahawa anak muda sudah tidak lagi menyokong BN. Disebabkan perjuangan inilah mereka mengatakan anak muda yang sokong BN adalah bodoh.

“Ini kerana tidak ada lagi anak muda yang mahu memenangkan BN. Tidak ada lagi yang mahu memberi undi kepada BN. Pada pilihan raya lalu kita kalah banyak di saluran muda. Begitu juga di Ayer Kuning, kita hanya menang dua daripada 18 saluran anak muda.

“Tetapi, saya nak beritahu bahawa mereka yang berada di hadapan saya ini terutamanya para jentera amat setia kepada parti. Kita nak bawa perubahan dalam parti ini dan kita percaya ia mampu menggamit semula kepercayaan anak-anak muda meskipun bakal mengambil masa yang lama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena majlis Amanat Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia sempena PRK DUN Ayer Kuning, di sini, malam tadi.

Ujarnya, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia telah menyahut cabaran dengan meletakkan calon di PRK DUN Nenggiri yang akhirnya membuahkan hasil kemenangan kepada parti.

“Kita pada akhirnya membuktikan usaha tidak akan mengkhianati hasil. Pergerakan Pemuda UMNO telah menyahut cabaran dengan meletakkan calon di DUN Nenggiri meskipun mereka mengatakan mustahil untuk kita menang.

“Kita nak membuktikan bahawa hari ini anak-anak muda bukanlah mereka yang ‘totok’ dengan parti. Hari ini anak muda dah pandai… mereka memilih pemimpin yang boleh bekerja untuk rakyat dan tidak beretorik semata-mata.

“Saya masih ingat lagi bagaimana Kerajaan Negeri Kelantan mengatakan bahawa kita akan ‘ruyup’ di sana. Tetapi, alhamdulilah akhirnya kita berjaya menawan DUN Nenggiri dengan lebih 3,000 majoriti. Saya nak buktikan bahawa calon yang kita ketengahkan ini mampu membawa perubahan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata bahawa BN sekali lagi mengukir kejayaan apabila mampu menang di semua saluran undi anak muda pada PRK DUN Mahkota di samping memberi komitmen untuk membantu kemenangan calon di PRK DUN Ayer Kuning.

“Allah menguji kita sekali lagi di Mahkota. Kita menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 hanya dengan 5,000 undi majoriti. Ramai yang mengatakan bahawa MCA tidak mampu membawa pengundi Cina, MIC tidak mampu membawa pengundi India.

“Tetapi alhamdulilah, kita berjaya menang dengan jumlah undi majoriti sebanyak 27,000. Maka, kita harus berpegang kuat kepada komitmen, bekerja untuk memenangkan calon BN di DUN Ayer Kuning ini.

“Insya-Allah, kita akan dapat mengulang lagi kejayaan kita seperti di DUN Nenggiri dan Mahkota pada PRK Ayer Kuning ini. Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia terus komited dan kami tidak akan berhenti membuktikan calon-calon BN adalah yang terbaik dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat,”katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian untuk PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April ini.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding hingga jam 11.59 malam 25 April ini.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Ishsam mewakili BN menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).

Daripada 31,897 pemilih berdaftar, seramai 14,527 daripadanya terdiri daripada pengundi berusia antara 18 hingga 39 tahun. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit