Ahmad Zahid Percaya Sokongan, Dukungan Orang Ayer Kuning
TAPAH, 12 April – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi percaya dengan sokongan pengundi bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang bermula hari ini.
Beliau berkata ini kerana gerak kerja sebaiknya telah dilakukan sejak beberapa hari lalu yang diketuai Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi mendekati seramai mungkin pengundi.
“Insya-Allah kesiapsiagaan jentera di bawah Datuk Seri Saarani Mohamad sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) yang telah digerakkan sejak beberapa ketika yang lalu.
“Saya merasakan bahawa gerak kerja yang telah dilakukan beliau kerana kami tidak berhajat untuk mengadakan ceramah secara besar-besaran sebaliknya kami lebih menyantuni pengundi-pengundi di sekitar Ayer Kuning ini,” katanya kepada media usai penamaan calon di Dewan Merdeka, di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dalam pada itu berkata komposisi kaum di kawasan ini memberikan kelebihan kepada BN.
“Kita mengharapkan komposisi pengundi-pengundi dari pelbagai kaum di Tapah, khususnya di Ayer Kuning ini akan memberikan sokongan dan dukungan kepada BN,” ujar beliau.
Dalam pada Ahmad Zahid turut berkata BN mengetengahkan calon terbaik untuk memberikan perkhidmatan terbaik sekiranya diberikan mandat pada 26 April ini.
“Kita tidak menjanjikan sebarang pembangunan tetapi yakinlah dengan pilihan Dr Ustaz Yusri, pembangunan akan diteruskan jadi kita harap pengundi-pengundi ini akan dapat memberikan sokongan kepada beliau.
“Kerana kita mempunyai calon yang baik yang boleh memberikan perkhidmatan terbaik untuk pengundi dan penduduk-penduduk di Ayer Kuning.
“Malah beliau berjanji dengan saya untuk memberikan kesinambungan perkhidmatan sebagaimana yang telah diberikan oleh Allahyarham Ishsam Shahruddin,” katanya lagi.
Terdahulu, sesi penamaan calon selesai pagi tadi apabila menyaksikan calon BN, Dr Ustaz Yusri berdepan saingan tiga penjuru daripada Abdul Muhaimin Malek (Perikatan Nasional) dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia).
PRK DUN Ayer Kuning ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Ishsam, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah sejak 2018, memenangi kerusi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan memperoleh majoriti 2,213 undi dalam persaingan lima penjuru. – UMNO Online